25September2017

Mengapa projek pembangunan di Pulau Pangkor lambat siap...?

Sejak dilantik menjadi Menteri Besar banyak juga projek pembangunan diluluskan di Pulau Pangkor namun agak malang projek yang dilaksanakan memakan masa begitu lama lebih lama dari tarikh dijanjikan siap seperti terdapat dalam kontrak.

Dengan lain erti kontraktor-kontraktor yang memperoleh kontrak dan melaksanakan kontrak berkenaan gagal menyiapkan projek dalam tempoh masa yang dijanjikan.

Pendedahan bahawa projek-projek di Pulau Pangkor “lewat” siap didedahkan sendiri Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir, yang juga ADUN kawasan berkenaan.

Pendedahan beliau menimbulkan pertanyaan “mengapa hal begini boleh berlaku lebih-lebih di kawasannya.?”

Atas kertas seolah-olah ia memberi gambaran majlis daerah tidak memainkan peranan pro aktif dalam memantau atau dalam hal ini memastikan projek-projek diluluskan siap seperti mengikut jadual.

Persoalannya jika di kawasan yang diwakili Menteri Besar hal-hal begini berlaku bagaimana pula dengan kawasan-kawasan lain di seluruh negeri Perak?

Bagi pemerhati sikap  kontraktor yang memberi pelbagai alasan kerana gagal menyiapkan projek kerajaan menepati waktu tidak menghormati Menteri Besar.

Kerana mereka harus ingat “getah”nya terkena pada Zambry seolah-olah Menteri Besar terlalu berlembut dengan mereka.

Sama ada mereka yang memperoleh kontrak terdiri dari orang-orang politik tidak harus diberi muka jika mereka gagal menyiapkan projek-projek yang diperolehi.

Mereka terlupa kerana nila setitik imej kerajaan khusus imej Zambry di mata rakyat boleh terjejas.

Perkara kelewatan projek dan sebagainya bukannya tidak pernah dibangkitkan  Menteri Besar secara tertutup dan  dalam mesyuarat dipelbagai peringkatt sejak memegang jawatan ini.

Ini supaya para pegawai yang bertanggungjawab tidak terlepas pandang, begitu juga dengan para kontraktor yang terbabit.

Rupa-rupanya semakin didiamkan semakin menjadi-jadi sikap mereka seperti didedahkan Menteri Besar secara terbuka baru-baru ini.  

Ketika berada di Pangkor, Zambry  mengingatkan konraktor yang lewat menyiapkan projek kerajaan akan diambil tindakan. Mereka katanya tidak harus melewatkan projek pembangunan yang telah dipertanggungjawabkan.

Sekira keadaan ini tidak berubah, Menteri Besar berkata “kerajaan negeri tidak akan lagi mempertimbangkan peluang untuk mereka mengendalikan projek seterusnya. Kelewatan akan beri impak tidak baik dan menyebabkan kontraktor akan lari.

“Saya nak bagi nasihat dan amaran kepada kontraktor bahawa kalau sekiranya sikap yang ditunjukkan sebegini, maka pihak kerajaan tidak akan timbangkan lagi, akan ‘blacklist’ kontraktor-kontraktor sebegini,” katanya.

Menyentoh beberapa  projek kerajaan di Pulau Pangkor, Menteri Besar meluahkan rasa  tidak senang dengan status projek-projek di pulau berkenaan yang keseluruhannya tidak siap mengikut jadual.

 “Saya memantau keadaan pembangunan di pulau-pulau seperti di Pulau Pangkor ini sering kali berlaku kelewatan, hampir semua projek yang dilaksanakan di Pulau Pangkor semua lewat.

“Tidak boleh bagi alasan itu ini kerana Pulau Pangkor dengan daratan bukan jarak yang jauh untuk kita mendarat keperluan barangan.

“Dalam mesyuarat Tindakan Negeri saya minta supaya satu pendekatan menyeluruh dilakukan... apa yang perlu diperbaiki khususnya melibatkan kontraktor-kontraktor jenis kontraktor-kontraktor yang kita nak bagi sama ada mereka  yang dari luar atau dalam (pulau),” ujar beliau.

Untuk menangani isu kelewatan projek, beliau meminta agar semua pihak seperti agensi terlibat, Jabatan Kerja Raya serta pegawai-pegawai daerah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap sesuatu projek yang dilaksanakan.

“Pemantaua projek bukan hanya dilakukan oleh saya sahaja tetapi semua termasuk JKR, pegawai daerah, agensi terlibat lain.

“Kita tidak mahu kelewatan keterlaluan terutamanya melibatkan kawasan luar bandar dan kawasan yang berada di pedalaman apatalah lagi di pulau seperti Pulau Pangkor.

“Kita akan terus berbincang dan cari penyelesaian bagaimana nak elak kelewatan projek di kawasan pedalaman dan kawasan pulau,” kata Datuk Seri Diraja Dr Zambry lagi.

Mengenai padang rumput tiruan yang pertama di Pulau Pangkor, Zambry berkata ia boleh digunakan mulai 1 April ini. Setelah  tertangguh hampir tiga tahun lalu, ia kini boleh digunakan. Padang itu  terletak di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor.

Katanya selain pihak sekolah, padang ini  boleh digunakan semua pihak termasuk kerajaan untuk  upacara-upacara besar seperti sukan. “Kita ingin menjadikan Pulau Pangkor sebagai tempat yang boleh menganjurkan upacara yang melibatkan sukan malah acara yang berkaitan pelancongan juga boleh menggunakan padang ini,”katanya.

Projek ini mendapat bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bernilai RM2.2 juta. ”Kerajaan Negeri bercadang untuk bina lampu dan pastikan kawasan ini boleh digunakan pada waktu malam.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan) yang sediakan peruntukkan ini kira-kira tiga tahun ini.  Majlis Perbandaran Manjung akan menyediakan lampu.”-29/3/2017 *gambarfail


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 897  tetamu dalam talian