25April2017

Keunikan program permukiman MB Perak

Kalau ada yang terlepas pandang program permukiman kerajaan negeri Perak bukan sahaja mendapat pengiktirafan pihak tertinggi juga jika diteliti dari setiap aspek ia mempunyai keunikan tersendiri.

Bukan tujuan menyindir mana-mana pihak tetapi program permukiman ini adalah julung-julung kali dirancang dan diadakan di Perak. Lain-lain negeri belum nampak keistimewaan program ini ataupun pemimpin mereka belum nampak signifikannya.

Jelas sekali di sini letaknya istimewanya insan bernama Zambry Abd Kadir, yang dilantik menjadi Menteri Besar Perak ke11 pada 2009 selepas berakhir kemelut politik gara-gara kegagalan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Bagi Zambry rakyat harus diutamakan dalam apa jua aspek sekalipun lebih-lebih lagi mereka didalam kelompok miskin dan terpinggir. Azam untuk memperjuangkan nasib dan masalah golongan ini bermula sebaik mengangkat sumpah jawatan di depan Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 6 Februari 2009.

Ini bukanlah artikel biografi mengenai Menteri Besar namun hakikatnya sejak 2009 pelbagai program kerakyatan diperkenalkan dengan mengambil kira kemampuan rakyat. Inilah dasar inklusif yang menjadi popular sehingga keputusan PRU ke13 memihak BN.

Kita teruja melihat projek-projek pembangunan diumumkan di kawasan berkenaan setiap kali berlangsung program permukiman. Bukankah ini rezeki penduduk tempatan?.

Contoh kepada isu sama kita lihat penduduk Selama bakal memperoleh durian runtuh. Mereka mungkin tidak lagi bergantung kepada pusat pentadbiran di Taiping. Dengan status Selama bertukar menjadi sebuah daerah dengan ada pusat pentadbiran sendiri, kehidupan penduduk tempatan jauh lebih senang.

Kita petik komen Menteri Besar semalam (Rabu) mengenai isu ini. Katanya kerajaan negeri sedang melihat potensi Batu Kurau dan Selama menjadi sebahagian daripada Greater Kamunting. Tujuannya bagi merancakkan pembangunan dan kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.

Zambry berkata, antara cadangan ialah mewujudkan kawasan baharu dengan menjadikan Batu Kurau sebagai bandar satelit.

``Ini kerana industri sedang berkembang di Kamunting dan ia sudah mula datang balik, Kamunting sudah mula membangun semula setelah 30 tahun terbiar begitu sahaja,’’ katanya.

Katanya ketika beliau melawat ke pekan Batu Kurau (beberapa tahun lalu), beliau melihat pekan tersebut agak uzur dan kerajaan telah mengesyorkan satu idea untuk membangunkan sebuah bandar baharu. Kemungkinan kawasan Batu Kurau dapat dibangunkan sebagai bandar satelit.Justeru Menteri Besar berkata kerajaan tidak menafikan hak Selama menjadi sebuah daerah penuh.

``Ini kerana perbincangan daerah Selama ia bukan hanya melibatkan DUN Selama tetapi juga melibatkan kawasan DUN Batu Kurau dan DUN Kubu Gajah dalam kawasan Parlimen Larut,’’ katanya. “"Apabila kita mewujudkan sesebuah daerah itu, kita telahpun mengambil kira pertama dari segi potensi, pembangunan, dari segi kedudukan dan keluasan kawasan pentadbiran, ia bukan hanya semata-mata atas dasar orang kata hendak buat atau tidak,’’ ujarnya.

Selama merupakan daerah kecil tertua di negeri Perak yang wujud sejak zaman kolonial dan telah digazetkan sebagai daerah kecil di dalam Daerah Larut Matang dan Selama.

Bagi program permukiman kali ke3 ini, sejak diperkenalkan bermula program pertama di Gerik (daerah Huu Perak) sebelum ke daerah Kerian, ia menonjolkan elemen-elemen keunikan dari segi pengurusan berkaitan rakyat kebanyakkan.

Kita juga melihat penglibatan YBU, sebuah agensi pembasmi kemiskinan rakyat , secara agresif menyediakan bantuan memberi peluang kepada kelompok ini untuk meneruskan kehidupan. Patutlah YBU berulang kali memperoleh pengiktirafan antarabangsa.

Selain pengumuman dan penyelesaian masalah rakyat,penduduk tempatan berpeluang berinteraksi dengan Menteri Besar jemaah EXCO dan para pegawai kanan. Tidak ketinggalan program qiamulail di masjid yang dihadiri Menteri Besar sesuatu yang jarang berlaku.

Bukan senang melihat Menteri Besar dan rombongan tidor di masjid serta berjaga sepanjang malam bagi mendekatkan diri dengan Allah. Yang pasti dalam kesibukan berpolitik mereka mengekalkan program ibadat.

Ini dapat disaksikan setiap kali berlangsung program permukiman. Begitu juga peluang penduduk menonton pertandingan bolasepak antara pasukan Menteri Besar menentang pasukan tempatan.

Memang bersarapan biasa bagi sesiapa tetapi macam mana jika kita berpeluang bersama-sama Menteri Besar bersarapan pagi. Kita dapat melihat makanan kegemaran pemimpin mereka. Jika rakyat beranggapan Menteri Besar bersarapan mewah ,jengoklah sendiri.

Sejak hari pertama selain Menteri Besar,juga hadir termasuk kesemua barisan EXCO serta para pegawai kanan kerajaan. Bukan senang hendak bertemu mereka di pejabat mereka walaupun berulang kali temujanji diusahakan.

Maaf, telefonlah ke pejabat Menteri Besar jika nama anda dengan mudah dimasukkan ke dalam buku temujanji. Lainlah kalau anda tokoh korporat ataupun pemimpin kanan parti pemerintah. Lain dari itu, elok lupakan.

Kalau mediapun banyak kali berdepan masalah birokasi (menemui para EXCO pegawai-pegawai kanan) sehingga membantut usaha mendapatkan maklumat untuk bahan penerbitan bayangkan rakyat dari daerah pedalaman. Kadangkala tidak berbaloi masa yang diambil serta tambang kenderaan bagi tujuan tadi.

Barangkali hal ini disedari sendiri Menteri Besar kekangan dihadapi rakyat sebab itu dalam program turun padang jemaah EXCO dan para pegawai kanan “diwajibkan” hadir untuk menyelesaikan masalah rakyat. Inilah keunikannya.

Mungkin terdapat anggapan program ini digilap serta diberi publisiti berlebih-lebihan walhal statusnya samalah seperti mana-mana program anjuran kerajaan pusat atau kerajaan-kerajaan negeri.

Seperti disebut tadi melalui program pemukiman rakyat tidak lagi perlu ke Ipoh menemui Menteri Besar atau para pegawai kerajaan. Dalam hal ini sama ada mereka suka atau tidak para pemimpin dan para pegawai kanan kerajaan terpaksa turun menemui rakyat.

Dan rakyat pula perlu menafaatkan peluang keemasan ini bukannya tebal dengan sikap “malas”. Lazimnya sikap negative merekalah yang menyebabkan masalah mereka gagal diselesaikan bukan salah pihak pemerintah.

Bagi mereka yang masih sangsi program permukiman ini telah diberi pengiktirafan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak. Mereka menganggap usaha kerajaan negeri Perak melaksanakan Program Permukiman ini dengan begitu baik .

Hal ini dijelaskan Dr Zambry yang telah menerima pengiktirafan itu secara peribadi daripada Sultan Nazrin dan Perdana Menteri.

``Sultan Perak dan Perdana Menteri memberi pengiktirafan atas pendekatan yang kita buat bagi mendapatkan maklum balas rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka menerusi pendekatan turun padang," katanya.

Beliau memberi tahu media (Rabu) selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Daerah sempena Program Permukiman Menteri Besar di Selama.

Katanya pada hari pertama program permukiman itu, banyak permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan baik, hasil tindakan wakil-wakil rakyat, ahli majlis, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit.

Antara masalah yang dibangkitkan termasuklah isu penggunaan tanah yang didiami penduduk sejak sekian lama dan pengurusan tanah di kawasan Kubu Gajah.

Selain itu, katanya, beberapa projek kerajaan Persekutuan, seperti Institut Kemahiran Tinggi Mara di Selama yang telahpun diluluskan Perdana Menteri akan dimulakan awal tahun depan.


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 711  tetamu dalam talian