Gerai nasi kandar pilihan MB Perak di Ipoh
- Terakhir dikemaskini: 31 Oktober 2017
- By YUSOF HARUN
Tidak syak lagi nasi kandar sudah menjadi sebahagian dari sajian kebangsaan yang digemari oleh rakyat tanpa mengira laltarbelakang termasuklah para pemimpin negara.
Kalau di Pulau Pinang, nasi kandar sudah menjadi salah satu produk pelancungan—lazimnya pengusaha restoren mamak atau India Muslim. Ia kegilaan orang-orang Melayu, begitu juga warga yang lain.
Jarang kita lihat pengusaha Melayu membuka restoren nasi kandar—kalau adapun,ia kurang mendapat perhatian.
Sebagai contoh di Bandaraya Kuching, restoren nasi kandar langsung tidak popular. Di sana sajian kegemaran orang tempatan seperti laksa Sarawak dan mee kolok. Bagi orang dari Semenanjung,jika berkunjung ke sana,mereka pasti memesan midin(macam pucuk paku) dan nasi goring ikan terubuk masin.
Sementara di Ipoh terdapat beberapa buah restoren nasi kandar yang menyajikan hidangan masakan ala-ala nasi kandar di Pulau Pinang.
Antara yang mendapat perhatian istimewa tentulah Restoren Ayam Merah (juga dikenali dengan nama nasi ganja, yang terletak di Jalan Yang Kalsom , restoren Salim (beberapa cawangan), D’Naina, Pelita dan Rahamath.
Untuk rekod restoren nasi kandar atau nasi ganja ini berjaya menandingi popularity restoren nasi kandar di Pulau Pinang. Ada yang berkata ia sedap sehingga sanggup menjilat tangan sendiri.
Beberapa tahun lalu, ketika zaman Tan Sri Tajol Rosli Ghazali menjadi Menteri Besar Perak, sebuah restoren bernama restoren Salim di buka di medan Gopeng, berdekatan stesyen bas lama. Kini,premis itu sudahpun ditutup.
Restoren ini berjaya mengukir nama kerana ia turut dikunjungi oleh pihak lstana. Gambar Tuanku turut menghiasi di dinding restoren. Kini, semuanya sekadar satu sejarah manis buat pemilik restoren berkenaan.
Seperti disebut tadi, restoren nasi ganja yang terletak di Jalan Yang Kalsom adalah yang paling popular.
Mengikut cerita nama restoren (nama wanggei itu) ini dipopularkan Datuk Lat yang pernah menghasilkan sebuah buku komik. Lat turut menulis:”wanggei,wanggei!”. . .bagi menggambarkan suasana dalam restoren berkenaan.
Pengendali restoren kelihatan memakai kain pelikat (buatan India) yang dililit kepinggangnya sehingga belahan kainnya menampakkan bahagian peha. Itu apa yang Lat lukis. Jika anda berkunjung ke sana sekarang, pengendalinya masih memakai kain.
Sebenarnya restoren wanggei lebih popular dengan nama nasi ganja. Tetapi secara rasmi, namanya Nasi Kandar Ayam Merah. Nama ganja itu merujuk kepada ketagihan memakan nasi kandar di restoren berkenaan—ia tidak ada kaitan dengan ganja.
Lauk pauk yang disajikan di sini yang mengamit pengunjung termasuklah ayam goreng, kari ikan bawal, daging,telor asin, timun dan sayur bendi. Lebih istimewa sambalnya iaitu sambal kelapa berwarna kemerah-merahan yang dianggap sesuatu yang unik.
Restoren ini berjaya meningkatkan prestasinya kerana harga makanannya tidaklah terlalu mahal berbanding restoren mamak yang lain. Sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng, timun, telor asin dan sayur tidak melebihi RM7.
Sebab itu pengunjung tidak keberatan menunggu walaupun terpaksa berbaris menunggu pesanan. Waktu puncak antara 12 hingga 2 petang tetapi jam 10.30 pagi,sudah ada yang menjamu selera. Kalau datang jam3.00 petang, kelihatan sama seolah-olah sebuah pesta kenduri nasi kandar.
Oleh kerana ia menumpang di sebuah restoren cina iaitu Kedai Kopi Yong Suan, ia tidak menyajikan minuman. Anda boleh pesan minuman dari restoren ini, yang turut menyajikan roti bakar dan kopi o ais.
Masyarakat bandaraya Ipoh pernah dikejutkan dengan langkah pihak berkuasa mengarahkan restoren ini ditutup seminggu kerana didakwa “kotor.” TV3 turut membuat liputan berita. Sebaik dibuka semula, pengunjung lupa seketika isu negative yang terpalit.
Restoren ini juga sering menjadi destinasi Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir, yang suka menjamu dan memperkenalkan kepada rakan-rakan. Bahkan dia sering memuatkan dalam laman FB atau twitternya mengenai nasi ganja.
Beliau pernah memuatkan gambar beliau meraikan sekumpulan wartawan kanan dan juga pembesar yang melawat Ipoh. Makan di sini tidaklah selesa kerana orang terlalu ramai sebab itu barangkali Dr.Zambry turut “menempah” nasi ganja ke kediamannya meraikan tetamunya.
Kepada cerita ini, seorang rakan media menganggap Menteri Besar sebagai “duta kecil” yang tidak dibayar gaji oleh restoren nasi ganja itu.
Untuk rekod juga beberapa gerai atau restoren yang menjadi kegemaran Dr.Zambry menjamu selera kini menjadi viral. Sesetengah restoren sudah lama popular sebelum menjadi Menteri Besar lagi.
Restoren-restoren ini menjadi popular kerana Menteri Besar suka twit mengenainya seperti berlaku pada hari Jumaat beberapa minggu lalu, selepas beliau menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid negeri, Ipoh.
Twit beliau seperti berikut: Selepas Jumaat di Masjid Negeri Ipoh, saya singgah menikmati makan tengahari di Gerai Makanan Rahamath yang terletak di belakang Masjid Negeri. Makanannya seperti ayam dan kambing sentiasa panas. Sangat menyelerakan. Saya dapat bertemu ramai rakyat jelata dan makan bersama mereka. Alhamdulillah.”
Sehingga jam 10 malam, dengan lebih 2,500 likes.
Tetapi di Lumut lain cerita. Menteri Besar suka menjamu selera di gerai yang biasa sahaja yang mana pengusahanya dikenali jauh lebih lama. Jadi,kalau anda berada di Lumut atau Pulau Pangkor,usahlah terkejut jika disebelah anda ialah Menteri Besar Perak yang turut sama menjamu selera.
Jangan lupa untuk berswafoto sebagai kenang-kenangan. Dr.Zambry seorang yang sporting.-31/10/2017