25Mei2017

Dialog Pangkor dengan faktor wownya

Dialog Pangkor atau juga disebut Pangkor International Development Dialogue yang bermula Isnin dengan majlis perasmian dilakukan Menteri Besar Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir pada sebelah pagi benar-benar mencerminkan sebuah program bertaraf dunia.
 
Dari segi konsep ia masih kekal seperti statemen asal iaitu program berpaksikan keintelektualan begitu juga dengan pengisiannya. Penjenamaan semula yang dilakukan kali ini juga  sesuatu yang realistic.
 
Lebih manis lagi apabila Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau yang hadir berkata “Inovasi dan kreativiti adalah masa depan Malaysia dan Pangkor Dialogue sudah pun berada di landasan yang betul.”
 
Menteri berkenaan turut mengkagumi inisiatif penganjur (Institut Darul Ridzuan) memastikan kelestarian pembangunan mampan dijalankan tanpa melupakan elemen penting bagi masa depan berteknologi iaitu pendekatan inovatif dan kreatif di dalam sesi-sesi kecil sepanjang dialog itu.

Kita tertarik pendapat beliau ketika mengulas lanjut mengenai  Dialog Pangkor yang pada pendapatnya telah bertindak sebagai perintis untuk menjadi konvensyen kepada pemikir celik IT yang mempunyai pengetahuan untuk mencorak masa depan menggunakan teknologi dan inovasi.

Jelas sekali katanya dapat dilihat interaksi serta variasi cerdik pandai dalam “satellite events” mengupas permasalahan tunjang serta menyelesaikannya dengan bantuan peserta dari seluruh dunia.

“Bayangkan, limpahan idea yang penuh dengan unsur inovatif dan kreatif dari seluruh pelusuk dunia dengan latar belakang berbeza, pastinya ada satu penyelesaian, malah idea baru yang seterusnya dapat membuatkan Malaysia lebih selesa untuk diduduki dan didiami pada masa depan,” katanya.
 
 
Begitu juga kita dapat melihat penyertaan golongan muda sejak Ahad iaitu sehari sebelum perasmian lagi sehingga pada hari berkenaan ketika membuat tinjauan tidak rasmi, Menteri Besar sangat teruja komitmen golongan ini.
 
Beliau keluar masuk dewan serta berjalan dan meninjau penyertaan golongan muda khusus dalam perniagaan seperti mengusahakan makanan melalui konsep food truck. Lebih manis bukan setakat meninjau, beliau juga turut menikmati makanan yang dijual.
 
Dalam satu majlis lain yang dihadiri golongan muda beliau memuji sajian pengusaha sebuah food truck milik seorang anak muda yang pada perkiraannya menyediakan masakan paling sedap. “Kuehteow  goreng dan charkuehteownya paling sedap pernah saya rasai .l . . .” katanya menjeling kepada peserta program.
 
  Dengan tidak membelakangkan golongan atau generasi muda dalam program kali ini  seperti diperakukan Menteri Besar, dialog kali keempat ini membuktikan program jauh lebih menarik.
 
Seperti disebut tadi, penglibatan golongan muda dalam berbagai kegiatan seperti mengusahakan perniagaan food  truck yang dapat dilihat di luar dewan persidangan, kegiatan seni, majlis motivasi dan sebagainya sangat releven dengan keadaan kini.
 
Bagi golongan muda di Ipoh (dan di Perak) penyertaan mereka walaupun dilihat secara kecil-kecilan namun yang penting mereka tidak dipinggirkan. Penglibatan mereka dipuji Dr.Zambry secara terbuka berkata “mereka dipersiapkan untuk mengambil alih pentadbiran dan kepimpinan negeri suatu masa nanti.”
 
Umum juga dapat melihat  bagaimana golongan belia, dewasa dilatih untuk berfikir di luar kotak serta menyusun atur idea dan pada masa sama mengasah kadar kreativiti untuk sebuah produk baru..

Terpanggil dengan konsep Dialog Pangkor ini juga Madius Tangau, yang dilihat mewakili kerajaan pusat berkata “penciptaan, inovasi, penambahbaikan teknologi dan kaitan di antara alam sekitar serta pembangunan inklusif, semuanya dikaitkan dan dibincangkan bersama semua pihak, ini adalah usaha IDR yang cukup berfikiran ke depan dan inilah yang diperlukan oleh Malaysia .”

Bagi warga bandaraya Ipoh Dialog Pangkor yang menghimpunkan kaum intelektual dari 25 negara termasuk negara serantau serta kehadiran tokoh-tokoh ternama dunia mempunyai sebab untuk mereka  tersenyum lebar.
 
Lebih-lebih lagi apabila  Bandaraya Ipoh diistihar sebagai “Social Business City” ke5 di dunia seperti diumumkan pengasasnya Prof. Muhammad Yunus, yang juga Pemegang Anugerah Nobel, di pada Isnin. Dengan itu Ipoh menyertai empat lagi bandaraya yang dinamakan iaitu Pistoia di Itali, Barcelona (Sepanyol); Wiesbarden (Jerman) dan Fukuoka (Jepun).
 
Tentu sekali dari segi “ego”, Ipoh berjaya mengalahkan Singapura,sebuah kota bertaraf super cosmopolitan di rantau sini.  Dengan demikian Ipoh sebagai bandaraya yang pertama di ASEAN dan kedua di Asia , mempunyai apa yang disebut “factor wow”.
 
Justeru kalau dulu ada yang melihat Ipoh sekadar bandar orang pencen tentu tersindir dengan ulasan Menteri Besar yang menjelaskannya  secara realistic keadaan terkini. Ipoh kini jauh lebih “membangun” berbanding puluhan tahun yang lalu.
 
Bagi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir  idea Bandar Perniagaan Sosial berkenaan adalah berkaitan dengan peranan yang akan dimainkan oleh semua pihak termasuk pihak swasta dan korporat untuk mengendalikan ataupun menyelesaikan sesuatu permasalahan yang berlaku di sesuatu kawasan.
“Idea ini dikemukakan bagi memastikan setiap daripada kita bertanggungjawab bersama-sama dalam memastikan keadaan keselamatan, keamanan ataupun dalam usaha untuk membasmi sebarang masalah yang berkaitan dengan kemiskinan dan sebagainya dalam sesebuah tempat itu.
“Antara isu atau permasalahan yang perlu diberi perhatian adalah kemiskinan bandar, isu dadah dan juga beberapa isu lain sebagai contoh yang berkaitan dengan isu keselamatan yang mana walaupun ia tidak begitu serius tetapi ia perlu diberi perhatian,” katanya.
 
Beliau menambah lagi “Ini kerana kita kadang kala dikongkong oleh pemahaman ekonomi yang terlalu bersifat keuntungan sedangkan yang sebenarnya yang dibicarakan adalah bagaimana kita nak memastikan setiap daripada kita berkeupayaan untuk menceburkan diri dalam bidang yang berkaitan untuk mencari sumber-sumber pendapatan bukan semata-mata berdasarkan kepada keuntungan.
 
Ketika berucap merasmikan dialog berkenaan pada hari pertama, Menteri Besar  berkata Perak berada dalam landasan transformasi pembangunan ekonominya yang tersendiri tanpa mengikut acuan pembangunan negeri-negeri lain.
 
Walaupun sering dilihat bersaing serta bersempadan dengan dua negeri (Selangor dan Pulau Pinang) yang terkenal kepesatan pembangunannya , Perak perlu mewujudkan pembangunan ekonominya cara tersendiri.
 
“Kita tidak boleh jadi seperti Selangor dan Pulau Pinang, maka tugas yang perlu dilaksanakan ialah memastikan Perak menjadi sebuah negeri yang mempunyai identiti sendiri dalam pembangunan ekonominya,” katanya.
 
Sementara itu  Profesor Muhammad Yunus dianugerah dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat  sempena Dialog Pangkor. Anugerah disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai pengiktirafan dalam usaha membasmi kemiskinan (melalui Grameen Bank) dengan memberi pinjaman mikro kepada gologan miskin, khususnya kaum wanita.
 
Ketua Pegawai Operasi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman  menerima anugerah sama  bagi mengiktiraf kecemerlangannya mengurus dan membangunkan PNB sejak 1998.
 
Malam Anugerah PIDD itu telah berlangsung di Hotel Casuarina Meru pada malam Isnin.
Senarai pemenang Anugerah Dialog Pangkor 2016
 
1. Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat - Profesor Muhammad Yunus (Pengasas Bank Grameen di Dhaka, Bangladesh )
 
2. Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat - Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad)
 
3. Anugerah Kecemerlangan Dalam Keusahawanan dan Pembangunan Industri - Rishad Bathiudeen (Menteri Industri dan Perdagangan , Sri Lanka )
 
4. Anugerah Kecemerlangan Ikon Hartanah Tahunan - Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB)
 
5. Anugerah Kecemerlangan Visi Ketua Pegawai Eksekutif Tahunan - Datuk Ahmad Faris Abdul Halim ( Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan Consulting Sdn. Bhd.)
 
6. Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan Runcit Tahunan - Datuk Mohd. Faroz Mohamed Jakel ( Pengarah Urusan Jakel Group)
 
7. Anugerah Kecemerlangan Pendidikan dan Pembangunan Komuniti - Mahamood Lebbe Alim Mohamed Hizbullah ( Menteri Pemulihan dan Penempatan Semula Sri Lanka)
 
8. Anugerah Pembangunan Alam Sekitar - T.R. Zeliang (Ketua Menteri Nagaland , India )
 
9. Pemenang Tahunan (Alam Sekitar)  - Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil (Presiden Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka)
 
10. Pemenang Anugerah Pembangunan Produk Kreatif - Hudson Sirisuwapong (Pengasas dan Pengarah Creative Lab Center )
 
11. Kecemerlangan Dalam Bidang Pertanian - Nicklaus Ho ( Ketua Pegawai Eksekutif Gaharu Technologies Sdn. Bhd.)
 
12. Kecemerlangan Dalam Bidang Makanan dan Minuman - Adnan Lee (Pengarah Urusan MBG Fruits Sdn. Bhd.)
 
13. Kecemerlangan Dalam Bidang Hospitaliti dan Pelancongan - Felina Tan Dri Datuk Mustapha Kamal ( Pengerusi dan Pengarah Eksekutif MK Land Holdings Berhad)
 
14. Kecemerlangan Dalam Bidang Perkilangan - Yap Suan See ( Presiden dan Pengarah Urusan Finisar (M) Sdn. Bhd.)
 
15. Kecemerlangan Dalam bidang Farmaseutikal - David Ho Sue San (Pengarah Urusan Hovid Berhad)
 
16. Kecemerlangan Dalam Bidang Perlandangan dan Komoditi - Tan Sri Datuk Seri  Lee Oi Hian ( Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur Kepong Berhad)
 
17. Kecemerlangan Dalam Bidang Pendidikan Swasta - Marwarzy Abu Bakar ( Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Kejuruteraan Noble)
 
18. Kecemerlangan Dalam Bidang Servis Awam - Kolonel (K) Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd. Shukor Mahfar ( Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri)
 
19. Kecemerlangan Dalam Bidang Teknologi Semikonduktor - Lee Hoong Leong ( Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Unisem (M) Berhad.
 
20. Kecemerlangan Dalam Bidang Teknologi - Datuk Seri Mohd. Amin Abdul Nor ( Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bestarinet Sdn. Bhd.)
 
21. Kecemerlangan Dalam Bidang Latihan dan Pembangunan - Datuk CM Vignaeswaran Jeyandran ( Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad)-21/9/2016


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 926  tetamu dalam talian