21Mei2018

Zambry bakal catat rekod di Pangkor...

Sejak sebelum hari penamaan calon dan menjelang hari pembuangan undi PRU14 pada Rabu,  Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir banyak memberi tumpuan dan menghabiskan masa berkempen di DUN Pangkor dan Parlimen Lumut.

Kalaupun beliau tidak turun berkempen di kampungnya, peluang memenangi kedua-dua kawasan berkenaan tetap berada dalam tangan berasaskan factor popularitynya.

Hingga ada sindiran tajam berbunyi jika Tun Mahathir bertanding parlimen Lumut sekalipun, mantan Pedana Menteri itu bakal hilang wang pertaruhan.

Kesimpulannya penduduk Pangkor dan Lumut boleh dikatakan akan rugi besar jika tidak memilih dan mengekalkan beliau pada PRU14.

Tetapi Dr. Zambry tidak besar kepala sehingga tidak keluar meninjau dan membantu calon-calon BN yang lain.

Beliau turut kelihatan  berada di  daerah Kerian, begitu juga DUN Manjoi, Kuala Kangsar, seperti dapat dilihat. Sehingga ada ketika pihak media terlepas pandang programnya.

Ketika di Manjoi yang letak 3km dari pejabat Menteri Besar dan memakan masa dua jam dari Pangkor, Zambry kelihatan “ceria” dan sempat berbual dengan  petugas media.

Berbeza dengan PRU ke13 ialah kedudukannya sebagai Menteri Besar hanya “disahkan” terjamin sebaik namanya diumum secara rasmi bertanding dan mempertahankan DUN Pangkor.

Kali ini agak lain dan kali ini beliau dipilih  mempertahankan DUN Pangkor dan pada masa sama diberi tugas merampas semula parlimen Lumut. Tentu sahaja perkembangan ini menimbulkan pelbagai  reaksi dan spekulasi.

Yang jelas dan nyata memberi gambaran awal bahawa anak dari keluarga nelayan dan anak jati Pangkor ini mungkin tidak kekal sebagai Menteri Besar jika beliau memenangi parlimen Lumut.

Bagaimanapun menyedari isu ini sudahpun disensasikan oleh pihak pembangkang, Dr.Zambry tampil dengan kenyataan jawab bagi mententeramkan rakyat khusus penyokongnya.

Katanya beliau akan terus memikul tanggungjawab sebagai MB sekiranya BN Perak kembali berkuasa pada PRU14 nanti. Beliau menafikan oleh kerana bertanding bagi dua kawasan, bermakna akan berlaku perlantikan Menteri Besar yang baharu.

Beliau berkata:” . . . ada yang beranggapan apabila saya dicalonkan untuk bertanding di Parlimen, maka lepas ini orang lain jadi Menteri Besar. Jangan bimbang, saya masih lagi bersama anda semua."

"Saya masih bersama tuan-tuan dan puan-puan...jika kemenangan berpihak kepada kita . . .”

Namun demikian programnya padat sejak pagi membawa ke malam hari bukan sekadar jamuan atau turun padang. Program keagamaan menjadi sebahagian itinarinya.

Dalam siri jelajah Dr.Zambry memberi ruang kepada pengundinya berinteraksi dan mengemukakan pertanyaan. Apa lagi peluang begini menyebabkan majlis sentiasa sesak lagi padat.

Sebagai contoh Dr.Zambry pada suatu program memulakan programnya dengan majlis bersarapan pagi bersama masyarakat setempat di Teluk Muroh, Lumut sebelum berangkat ke Pulau Pangkor.

Beliau disambut lebih 80 masyarakat Cina yang menetap di Kampung Sungai Pinang Kecil dan Sungai Pinang Besar. Beliau mengambil kesempatan meninjau kawasan tokong Cina Foo Ling Kong di Sungai Pinang Besar sebelum  menemui peniaga-peniaga di Pekan Pangkor.

Bagi penduduk tempatan, mereka turut menyaksikan lebih 50 orang peserta konvoi bermotorsikal mengiringi program Menteri Besar.

Menjelang hari pembuangan undi, Parlimen Lumut merekodkan jumlah pengundi awal paling ramai di negeri Perak melibatkan 11,900 pemilih daripada 37,407 jumlah pengundi awal yang berdaftar.

Bagi Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), ia melibatkan seramai 11,223 pemilih di dua pusat mengundi iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM dan (SK) Sekolah Rendah TLDM.

Pada jam 9.30 pagi, kelihatan kehadiran calon-calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen Lumut dan DUN Pangkor, bagi meninjau suasana proses pengundian awal di sekitar pusat mengundi di Pangkalan TLDM, di Lumut.

Di DUN Pasir Panjang, seramai 380 pemilih layak mengundi di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Markas Operasi Pasukan Polis Marin, 88 di Kampung Acheh dan 129 pemilih berada di Bilik Mesyuarat, Stesen Komunikasi TLDM, Sitiawan.

Sementara itu, di DUN Pangkor, selain di Pangkalan TLDM, seramai 80 pemilih membuang undi awal di Ruang Pejabat Am, Balai Polis Pangkor.

Untuk rekod DUN Pangkor dan parlimen Lumut melalui pelbagai dugaan menyaksikan tokoh MCA yang bertanding tiket BN iaitu Kong Cho Ha, tewas walaupun ketika itu beliau berjawatan menteri.

Pada PRU13, Cho Ha kalah di parlimen Lumut pada calon PKR, Mohamad Imran Abdul Hamid,dengan majority 8,168.Beliau hanya mengutip 32,140undi berbanding pencabarnya, 40,308.

Ironinya pada 2004, Cho Ha menang di Lumut dengan pungutan 27,415 undi berbanding Mustaffa Kamil Ayub mewakili Keadilan,15,801 undi atau dikira dari segi undi majoriti, 9,614.

Pertandingan sengit pada pilihanraya umum 2008 menyaksikan Cho Ha menang tipis di Lumut dengan meraih  25,698 undi berbanding pencabarnya,Suwardi Sapuan(PKR), 25,400.

Berbeda dengan Dr.Zambry yang sebaik diletakkan bertanding di DUN Pangkor pada 2004, mengalahkan  Suwardi Sapuan (Keadilan) dengan undi 8,349 berbanding 2,680 dan Mohd Isa Mohd Som, (Bebas), 117undi.

Pada pilihanraya berikut (2008), prestasinya jauh lebih baik apabila memperoleh 10,906 berbanding pencabarnya(Pakhrazi), dari PKR, 5,121 undi.

Pada PRU13, Dr.Zambry mengulangi kejayaan dengan mengalahkan calon PKR, Mohd Saifullah yang memperoleh 7,167 undi manakala beliau sendiri, mendapat 12,291 undi atau majoriti, 5,124.

Berasaskan pelbagai factor lebih-lebih lagi DAP dan PAS sudah tidak lagi sehaluan,Dr.Zambry dijangka mencatat rekod kemenangan dengan memperoleh undi jauh lebih bergaya dari pilihanraya yang lalu.

Sementara soal beliau kekal MB atau sebaliknya sudah terjawab, penduduk di Pangkor yang diumumkan Perdana Menteri tahun lepas berstatus bebas cukai bakal menikmati masa depan yang jauh lebih cerah berbanding generasi mereka sebelum ini.-8/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1031  tetamu dalam talian