25September2018

Wanita UMNO gesa kerajaan tolak semua tuntutan golongan LGBT

Kerajaan digesa menolak sebarang tuntutan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini memandangkan ia bertentangan dengan Islam.

Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan Lattefah Aliyaru Kunju berkata kemahuan tidak berasas golongan itu perlu disekat dan dihentikan kerana ia juga bertentangan dengan nilai-nilai kehidupan normal seorang manusia.

“Hak yang dituntut adalah satu permulaan untuk golongan ini mendapat ruang dalam masyarakat dan mungkin di masa akan datang, mereka akan meminta bermacam-macam lagi dan mungkin juga meminta undang-undang digubal khusus untuk mereka.

“Perkara ini harus dibendung bermula daripada sekarang supaya masalah ini tidak mempengaruhi kehidupan generasi akan datang,” katanya pada Isnin.

“Selama ini golongan LGBT boleh bekerja dan belajar di mana saja. Hak mereka tidak pernah dinafikan selagi mereka berstatus warganegara Malaysia. Ada sebab mereka tidak diterima, tetapi sebagai minoriti mereka yang mesti menyesuaikan diri dengan kehendak alam bukan sebaliknya.

“Tiada siapa dapat menafikan kejadian seseorang namun ia bukan alasan untuk menuntut perkara dilarang agama. Jika perkara ini tidak dibendung dari awal mungkin selepas ini mereka akan meminta kerajaan membenarkan pembedahan jantina pula,” katanya.

Menurut Latteffah, pihaknya juga kecewa kerana kerajaan memberi ruang dan peluang kepada golongan itu menyuarakan pandangan antaranya dalam isu melibatkan penggunaan tandas wanita.

“Kami tidak setuju sama sekali dengan permintaan tidak berasas ini. Tandas wanita hak wanita, kenapa pula mereka mahu gunakan sedangkan mereka bukan wanita. Ini tidak adil kepada wanita terutama yang beragama Islam. Kerajaan kena ambil kira perkara ini,” katanya.

Tegas beliau Wanita UMNO menolak sebarang tuntutan LGBT yang bertentangan dengan Islam.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menerima jemputan untuk bertemu wakil komuniti transgender, Nisha Ayub bagi menyelami serta memahami isu berkaitan transgender, khususnya peranan institusi agama dalam menangani permasalahan berkenaan.-14/8/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 383  tetamu dalam talian