17November2018

Wanita UMNO bersolidariti dengan Dr Ilyani

Wanita UMNO bersedia menawarkan perkhidmatan guaman yang ditanggung sepenuhnya bagi membela hak pegawai perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II(HRPZ II) jika berlaku tindakan tidak adil terhadapnya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, Wanita UMNO akan terus memberi sokongan dan bersolidariti dengan Dr Nur Ilyani kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan melalui surat terbukanya berkenaan tiada diskriminasi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kepada aktivis, Datin Marina Mahathir.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak harus tunduk kepada mana-mana pihak berkepentingan sehingga terpaksa membuat keputusan yang tidak adil terhadap Dr Nur Ilyani kerana impak kepada kes ini bukan hanya memberi kesan kepada beliau, bahkan kepada ramai pengamal perubatan lain di seluruh negara.

"Surat terbuka Dr Nur Ilyani jelas menerangkan bahawa beliau tidak mendiskriminasikan mahupun menghukum golongan LGBT. Malah mengakui tidak pernah mendiskriminasikan golongan itu yang memerlukan khidmat beliau sebagai seorang doktor.

"Pendapat yang dinyatakan beliau agar golongan LGBT tidak menunjukkan gaya hidup LGBT secara terbuka adalah haknya sebagai rakyat dalam negara yang mengamalkan kebebasan bersuara," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian perlu segera mengambil keputusan berkenaan aduan yang dikemukakan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) berhubung surat terbuka berkenaan, sekaligus menutup kes ini demi kebaikan semua pihak terutamanya Dr Nur Ilyani.

"Wanita menggesa agar kecaman terhadap Dr Nur Ilyani dihentikan serta-merta agar beliau dapat kembali meneruskan tugas berkhidmat kepada masyarakat tanpa tekanan, sekaligus dapat menumpukan perhatian penuh pada kerjayanya.

"Dr Nur Ilyani sepatutnya bebas bersuara  terutama dalam isu-isu yang menggugat institusi keluarga dan sewajarnya tidak harus diberi tekanan," katanya.

Sebelum ini, Dr Nur Ilyani dilaporkan menulis surat terbuka kepada Marina berkenaan kebimbangan sekiranya gejala LGBT itu dibiarkan berleluasa. Bagaimanapun, Dr Nur Ilyani berdepan tindakan tatatertib selepas tindakannya diadukan kepada BPA.

Dalam perkembangan terbaru, Jabatan Kesihatan Kelantan menafikan tular yang mengatakan Dr Nur Ilyani ditukarkan ke Putrajaya dalam tempoh 24 jam.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zaini Hussin berkata, setakat ini pihaknya masih belum mendapat sebarang kata putus dari Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung perkara berkenaan.-17/8/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 401  tetamu dalam talian