17November2018

Tunda HSR: Patut tunggu sehingga tender ditutup Disember ini

Empat hari dahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengumumkan bahawa Singapura bersetuju untuk menangguhkan projek High Speed Rail (HSR) tanpa meminta apa-apa bayaran dari Malaysia.

Rabu lalu, diumumkan pula kita perlu bayar gantirugi RM45.1 juta kepada Singapura untuk menangguhkan projek selama dua tahun. Ia bercanggah dengan kenyataan 3 hari sebelum ini.

Tender untuk projek ini yang dilaksanakan bersama Singapura sepatutnya ditutup pada akhir Disember ini juga telah dibatalkan.

Pembida-pembida sudah melaburkan banyak wang dan usaha dalam mengemukakan bida mereka dan sudah hampir selesai.

Pada pendapat saya, kerajaan sepatutnya tunggu sehingga tender telah ditutup dan semua bidaan telah diterima sebelum membuat keputusan hendak menunda atau batalkan memandangkan tender sudah dibuka sejak bulan Januari lalu dan hanya kurang 4 bulan lagi sehingga tender tutup.

Ini ialah kerana tender ini untuk pakej pembiayaan kewangan projek.

Kebiasaannya ialah pakej pembiayaan bagi projek-projek HSR adalah sangat kompetitif dan tidak mustahil untuk pembida-pembida memberi pakej pinjaman dengan kadar faedah 0 peratus ataupun 0.1 peratus dan tempoh tidak perlu bayar seperti untuk projek-projek HSR di India dan Indonesia.

Dengan maklumat kos dan pakej pembiayaan dari pembida, kerajaan boleh membuat keputusan dengan lebih wajar jika hendak batal ataupun tangguh.

Bagi saya kos untuk menangguhkan projek ini untuk dua tahun bukan RM45.1 juta sahaja tetapi perlu mengambil kira kos kehilangan peluang ataupun "opportunity loss".

Saya cuba membaca kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura Encik Khaw Boon Wan yang mengatakan ramai di Singapura juga tidak sabar untuk HSR dibina kerana destinasi Kuala Lumpur sangat dinantikan mereka.

Banyak peluang untuk merancakkan industri pelancongan dan pelaburan serta berpuluh ribu peluang pekerjaan akan hilang dalam tempoh penangguhan dua tahun ini.

Dua bulan lepas, pusat penyelidik dari Institute of Developing Economies di Jepun dengan kerjasama Yusof Ishak Institute di Singapore mengeluarkan hasil selidik mereka bahawa Malaysia akan memperoleh keuntungan AS$1.589bil (RM6.6 bilion) setiap tahun dengan adanya projek HSR.

Selain dari itu, seperti mana-mana projek infrastruktur kos pembinaan dua tahun lagi tentu akan lebih tinggi.

Ini bermakna kos sebenar penangguhan dua tahun ini ialah RM45 juta ditambah RM13.2 bilion campur kenaikan kos pembinaan.

Kerajaan juga perlu mendedahkan laporan impak ekonomi untuk projek ini supaya rakyat boleh menilai dengan sendiri kebaikan projek ini dari segi pembangunan negara dan pulangan pelaburan.

Persoalan saya mengapa kos HSR yang dulunya dianggar sebanyak RM70 billion oleh kerajaan BN dulu dengan kerajaan Singapura tiba-tiba dinaikkan menjadi RM120 bilion oleh kerajaan Pakatan Harapan juga terjawab di dalam laporan media semalam.

Rupa-rupanya, kos RM120 bilion rekaan Pakatan Harapan ini termasuk bayaran bunga (walaupun pakej pembiayaan mungkin hanya 0 peratus dan 0.1 peartus) dan kos penyelenggaran dan operasi untuk 30 tahun tanpa mengira sebarang pendapatan dari projek ini.

Mungkin ini ialah "kos tersembunyi" yang dimaksudkan di dalam jawapan rasmi Datuk Seri Azmin Ali kepada saya dalam Dewan Rakyat hari itu?

Jika sedemikian, mungkin penjual kereta di Malaysia juga patut menukar papan harga untuk kereta mereka kerana perlu menambah juga kos bunga pinjaman dan kos operasi untuk 30 tahun?-7/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 508  tetamu dalam talian