28November2014

Siapa ahli politik dibiayai hasil pendapatan pusat perjudian haram ?

Ini pendedahan yang serius, selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu Pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak.

Menurutnya meskipun tidak terlibat secara langsung tetapi ada ahli politik yang dikesan dibiayai dengan hasil pusat perjudian haram tersebut.

"Tidak ada ahli politik yang terlibat secara langsung tetapi mungkin ada yang memperolehi wang daripada pendapatan hasil perjudian itu untuk melakukan kegiatan politik.

"Berdasarkan laporan yang saya perolehi ada ahli politik yang terlibat...saya tidak mahu menuduh, tetapi jika mahu pembuktian pihak polis ada bukti," katanya.

Beliau berkata dalam masalah perjudian atau kegiatan jenayah sepatutnya mana-mana ahli politik tidak bersekongkol dengan individu atau pertubuhan haram.

Ahmad Zahid diminta mengulas laporan akhbar mengenai kegiatan perjudian di tiga kawasan berkenaan yang dikatakan kebal untuk ditembusi pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak parti politik dapat mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya yang terlibat dibiayai dengan kegiatan perjudian haram.

"Kami juga mohon kerjasama orang ramai, bukan sahaja melaporkan tetapi bersama-sama mengambil tindakan dengan pihak berkuasa, kerana apa yang berlaku sekarang bila ada permintaan maka adalah penawaran," katanya.

Sementara itu, dalam laporan khas yang disiarkan Utusan pada Selasa, akhbar tersebut mendakwa kewujudan ‘kumpulan kebal’ yang melindungi sindiket mesin judi haram mengakibatkan kegiatan berkenaan sukar dibanteras dan terus beroperasi secara berleluasa terutama di Melaka, Selangor dan Sabah.

Kumpulan berkenaan yang mempunyai kaitan dengan orang politik dikatakan memainkan pera­nan untuk memastikan sindiket mesin judi haram mendapat ‘jaminan’ bahawa operasi mereka tidak akan terjejas dan dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Mengambil contoh di Melaka, kegiatan haram tersebut bukannya berkurangan malah semakin bertambah biar pun akhbar ini membuat pendedahan baru-baru ini.

“Serbuan yang dilakukan ibarat ‘wayang tinggi’ kerana sindiket tersebut dilindungi oleh ahli politik.

“Perlindungan yang diperoleh sindiket itu mengakibatkan usaha atau harapan rakyat untuk melihat kegiatan mesin judi haram dibanteras sukar dilakukan. ‘Restu’ daripada orang politik menjadikan operasi mereka semakin berleluasa,’’ kata sumber.

Menurut sumber berkenaan, sebagai imbuhan terhadap ‘jasa baik’ tersebut, sindiket akan membiayai kegiatan ahli politik tersebut seperti menghulurkan sumbangan dan aktiviti kemasyarakatan yang lain.

“Keadaan ini menyebabkan pi­hak berkuasa menghadapi masa­lah untuk membanteras kegiatan mesin judi haram biar pun serbuan demi serbuan dilakukan,’’ katanya.

Sumber itu menyifatkan, perbuatan ahli politik tersebut sebagai satu ancaman kepada masyarakat kerana mereka sepatutnya menggunakan kedudukan yang dimiliki bagi membersihkan sebarang kegiatan haram.

“Tetapi sebaliknya, mereka me­ngambil kesempatan untuk kepentingan sendiri. Mereka yang mempunyai kuasa diibaratkan orang yang memegang pisau dan timun. Terserah kepada mereka untuk mengukir timun itu mengikut bentuk yang dikehendakinya,’’ katanya.-21/10/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 519  tetamu dalam talian