21November2017

Tiada perbalahan antara Hishammuddin dan saya - Anifah

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata tiada perbalahan antara beliau dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, terutama mengenai lawatan negara yang bakal dilakukan oleh Emir Qatar, seperti didakwa oleh sebuah portal berita tempatan semalam.

Anifah berkata beliau dan Hishammuddin, yang juga Menteri Tugas-tugas Khas, telah sekian lama bekerjasama dengan sangat baik dan rapat antara satu sama lain dalam banyak perkara.

"Kerajaan Malaysia mengalu-alukan lawatan negara oleh Emir Qatar, dan Kementerian Luar bersama agensi-agensi kerajaan yang lain kini membuat persiapan yang perlu bagi lawatan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataan Selasa malam.

Awal Selasa, sebuah portal berita tempatan mendakwa bahawa "perbalahan" telah tercetus berhubung lawatan Emir Qatar ke Malaysia.

Mengenai isu lebih besar melibatkan krisis hubungan yang berterusan antara negara-negara Arab yang lain dan Qatar, Anifah berkata pendirian kerajaan Malaysia telah dinyatakan dengan sangat jelas melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 12 Julai tahun ini.

Dalam kenyataan itu, Najib menyeru semua pihak segera mengambil langkah bagi mematuhi semua perjanjian yang dicapai oleh negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) terutama Perjanjian Riyadh 2014.

Beliau berkata Malaysia percaya perjanjian itu merupakan asas penerimaan bagi penyelesaan terhadap krisis sekarang, menggesa semua pihak untuk turut serta secara aktif dalam usaha rundingan atas inisiatif Kuwait untuk mencari penyelesaian terhadap krisis GCC yang berterusan.

"Malaysia menyokong kuat usaha Emir Kuwait untuk menjadi perantara dalam menghadapi ketegangan yang semakin memuncak dan kita bersedia untuk membantu jika sumbangan kita diperlukan.

"Kita selalu memperjuangkan prinsip tidak campurtangan dalam hal ehwal dalaman negara lain yang berdaulat dan menggesa semua negara untuk turut berbuat demikian," kata Najib.

Arab Saudi, Mesir, Yaman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada 5 Jun, dengan menuduh negara Teluk itu menyokong pertubuhan pengganas.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengulas mengenai isu itu terdahulu pada Selasa menafikan laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai "karut".

Beliau berkata perbalahan itu ialah antara Qatar dan Arab Saudi, dan tidak ada kena-mengena dengan beliau dan Anifah, sambil menegaskan bahawa "Qatar punya krisis tidak akan menjejaskan hubungan saya dengan Anifah".

"Adakah anda benar-benar berfikir bahawa saya boleh menyekat Emir Qatar jika beliau hendak datang? Ini semua merupakan "fake news" kerana bagi saya, jika Emir Qatar nak datang ke Malaysia, ini satu penghormatan bagi kita. Buat apa kita nak sekat pula.

"Tiada apa-apa yang baharu (kata beliau kepada wartawan). Menjelang PRU14 ni, akan ada lebih banyak (berita palsu) tetapi mereka perlu lebih kreatif untuk cuba melaga-lagakan kita," kata beliau.-16/8/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1287  tetamu dalam talian