20Jun2018

Skandal RM1.18 bilion: Peneroka Ijok bawa kes ke SPRM

Tiada maaf bagimu... peneroka tanah di mukim Ijok bersama Barisan Nasional (BN) Selangor akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  berhubung skandal penjualan tanah bernilai RM1.18 bilion oleh Kerajaan Negeri PKR Selangor di kawasan tersebut kepada pihak ketiga.
 
Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman berkata, tindakan kerajaan negeri itu yang membenarkan dua syarikat pemaju sebelum ini untuk menjual tanah tersebut dengan harga pasaran semasa kepada pihak ketiga sangat menghairankan.
 
Katanya, ini kerana kesemua peneroka yang terlibat dalam penjualan tanah itu hanya memperoleh pampasan RM421 juta berbanding hasil penjualan tanah itu yang mencecah RM1.18 bilion.
 
“Agak menghairankan apabila pampasan yang diberikan kepada peneroka mengikut harga lama iaitu mengikut harga 18 tahun dahulu sedangkan penjualan tanah ini dibuat mengikut harga semasa.
 
“Dianggarkan keuntungan daripada penjualan tanah ini mencecah RM800 juta. Berikutan itu, menjadi tanda tanya semua pihak ke mana keuntungan ini pergi,” katanya.
 
Baru-baru ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menuntut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan mengenai tindakan tergesa-gesanya membenarkan dua syarikat swasta menjual tanah di mukim Ijok bernilai RM1.18 bilion kepada sebuah syarikat lain sebelum proses peringkat Mahkamah Persekutuan selesai dijalankan.
 
November tahun lalu, dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565 membuat laporan kepada SPRM bagi meminta siasatan dijalankan jika terdapat unsur rasuah dalam isu tanah di mukim Ijok yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada dua syarikat.
 
Tanah seluas 880 hektar itu dibeli oleh dua syarikat, LBCN Development Sdn. Bhd. dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. pada 1998 namun telah dirampas kerajaan negeri pada 2008 mengikut Kanun Tanah Negara berikutan pelanggaran syarat dan terma perjanjian.-19/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 473  tetamu dalam talian