16Oktober2018

Rizab antarabangsa Bank Negara susut 100 juta dollar

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) pada 13 Julai 2018 berjumlah AS$104.6 bilion (RM425.08 bilion), menyusut AS$100 juta (RM406.39 juta) berbanding AS$104.7 bilion (RM425.49 bilion) pada 29 Jun 2018.

Ia terus menyusut berbanding rizab antarabangsa yang direkodkan pada 14 Jun 2018 bersamaan dengan AS$107.9 bilion (RM438.49 bilion).

Menurut BNM, pada paras rizab AS$104.6 bilion, ia memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Katanya, komponen utama rizab antarabangsa itu terdiri daripada rizab mata wang asing berjumlah AS$98 bilion (RM398.26 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa, AS$900 juta (RM3.66 bilion); Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR), AS$1.2 bi­lion (RM4.88 bilion); emas, AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion) dan aset rizab lain, AS$3 bilion (RM12.19 bilion).

“Aset itu termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR (RM423.08 bilion), kertas Kerajaan Malaysia (RM4.3 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM4.25 bi­lion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.25 bilion), tanah dan bangunan (RM4.18 bilion) dan aset lain (RM9.57 bilion),” katanya dalam kenyataan.

BNM dalam kenyataan 6 Julai lalu membe­ritahu rizab antarabangsa setakat 29 Jun 2018 yang menyusut kepada AS$104.7 bilion mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan nilai dolar AS berbanding pelbagai aset rizab mata wang asing yang dipegang oleh BNM.

Setakat petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0600 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

Semalam ringgit ditutup rendah pada RM4.0640 berbanding dolar AS setelah ia mencecah paras RM4.0600 pada Rabu seiring dengan kebanyakan mata wang negara serantau.

Ini berikutan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell memberi kenyataan mengenai pengukuhan ekonomi AS dengan menunjukkan lebih banyak kenaikan kadar faedah pada tahun ini.

Sementara itu, pasaran tempatan susut 4.57 mata ke paras 1,754.67 mata walaupun dibuka sedikit tinggi pada paras 1,757.1 mata. Pada Khamis, indeks FBM KLCI tutup lebih tinggi pada paras 1,759.24 mata.

Menurut Maybank IB Research, indeks FBM KLCI melonjak dalam tempoh tujuh hari berturut-turut dengan meningkat 10.61 peratus setelah ditutup 1,737.28 mata setakat 18 Julai lalu didorong pembelian terhadap saham-saham mewah.

Pada Khamis minggu lalu, penanda aras saham tempatan, buat pertama kali ditutup melebihi paras 1,700 sejak 20 Jun 2018.-21/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 591  tetamu dalam talian