15Ogos2018

Raja Perlis belum putus siapa MB...

Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim telah menamakan ADUN Tambun Tulang Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar yang baru daripada BN.

Namun sehingga kini teka teki masih berlegar kerana selepas lima hari masih belum ada upacara angkat sumpah.

Manakala Bernama melaporkan, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah menegaskan bahawa pelantikan menteri besar akan dibuat berpandukan undang-undang tubuh kerajaan negeri dan tidak akan dibuat untuk memenuhi kepentingan seseorang individu atau puak tertentu.

Menurut baginda menteri besar yang dilantik kelak mestilah boleh melaksanakan projek pembangunan yang dirancang berikutan Perlis kini menjadi negeri pembangkang setelah Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lepas.

"Keputusan yang akan saya buat nanti adalah atas nama rakyat," titah baginda yang sedar bahawa rakyat dalam kegelisahan kerana jawatan itu masih belum dipenuhi.

Baginda menasihatkan rakyat supaya bersabar menunggu pelantikan itu.

Program siri kelima itu bermula Jumaat lepas turut dihadiri umat Islam dari beberapa negara antaranya Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat sama pada majlis itu.

Berikutan PRU14, Perlis kekal di bawah penguasaan BN yang memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri. Jawatan menteri besar sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Azlan Man.

Selain nama Ismail, Shahidan turut menamakan beberapa calon lain kepada Tuanku Syed Sirajuddin untuk mendapat perkenan baginda.

"Ada beberapa nama dibawa kepada saya tetapi saya tidak dapat buat keputusan kerana tidak mengenali mereka langsung.

"Pihak yang menang sepatutnya bawa calon-calon mereka untuk diperkenalkan supaya mudah untuk saya membuat keputusan tetapi perkara itu tidak dilakukan," titah baginda.

Pada 2008 pelantikan menteri besar mengambil masa hingga dua minggu.

Dalam pada itu, baginda berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meminggirkan Perlis sebagai negeri pembangkang.

Baginda mengucapkan tahniah kepada PH atas kemenangan mereka pada PRU14.-14/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 657  tetamu dalam talian