19Ogos2018

PM umum macam-macam khabar gembira untuk pasaran saham…

Siapa cakap kerajaan tidak ‘payung’.  Sudah tentu lebih 350 syarikat permodalan sederhana dan kecil tersenarai di Bursa Malaysia tersenyum riang mendengar pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Berucap di majlis pembukaan Simposium Pasaran Modal Dunia 2018 di Kuala Lumpur beliau umum duti setem ke atas saham syarikat-syarikat kategori itu yang didagangkan di Bursa Malaysia akan dikecualikan bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa Mac 2018.

Katanya  inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengiktirafan nilai dengan lebih baik lagi dan kedinamikan segmen ini dalam pasaran saham.

"Syarikat permodalan sederhana dan kecil menyumbang lebih satu pertiga daripada syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan permodalan pasaran berjumlah sebanyak RM217 bilion."

"Ini merupakan segmen paling penting dalam pasaran saham kita yang akan membuka laluan bagi syarikat besar, lebih banyak aktiviti korporat dan nilai pelaburan yang lebih besar bagi pelabur," katanya.

Setakat ini, terdapat lebih 350 syarikat permodalan sederhana dan kecil tersenarai di Bursa Malaysia.

Najib juga mengumumkan kerajaan telah memulakan perbincangan menyeluruh dengan Suruhanjaya Sekuriti, di mana, kedua-dua pihak memutuskan untuk mengambil langkah bagi merancakkan lagi pasaran.

"(langkah-langkah itu), peraturan pembiayaan margin, akan diliberalisasikan untuk menjadikan pasaran kita lebih menarik, (selain), membenarkan jualan singkat harian, kepada semua pelabur," katanya.

Beliau juga berkata satu kategori baharu peniaga, dikenali sebagai Pakar Dagangan akan diperkenalkan, selain daripada program insentif berasaskan jumlah dagangan oleh bursa, bagi memangkinkan aktiviti dagangan yang lebih besar.

Semua pelabur baharu akan diberikan pengecualian yuran bagi dagangan dan penjelasan bagi tempoh enam bulan untuk menggalakkan lebih ramai peserta berdagang dalam pasaran kita, kata Najib.

Pada majlis berkenaan Perdana Menteri juga umum Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mewujudkan koridor pasaran bagi menghubungkan kedua-dua negara, di samping pautan dagangan antara bursa saham masing-masing untuk meningkatkan lagi faedah yang diraih bersama dan memanfaatkan potensi ekonomi.

Beliau berkata 'Hubungan Malaysia-Singapura' ini akan menyediakan akses yang mudah dan lancar kepada kedua-dua pelabur dari kedua-dua negara ke pasaran antara satu sama lain dengan gabungan permodalan lebih daripada AS$1.2 trilion (AS$1=RM3.90) dan 1,600 syarikat senaraian awam.

Penubuhan koridor pasaran itu adalah susulan daripada perbincangan beliau dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loon, kata Najib. 

Beliau berkata Malaysia dan Singapura bersetuju yang kedua-dua pasaran telah mencapai paras kecanggihan dan tahap kematangan yang mencukupi bagi menubuhkan koridor pasaran itu.

Susulan keputusan itu, satu pelan kawal selia akan dirangka oleh pihak berkuasa relevan kedua-dua negara, untuk membuka jalan bagi mewujudkan pautan dagangan.

Najib berkata inisiatif itu akan meluaskan lagi pilihan pelaburan bagi pelabur dan menyumbang kepada aktiviti yang lebih rancak dalam kedua-dua pasaran.

Malaysia berfungsi sebagai pintu masuk ke ASEAN dan sebaik sahaja Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dimuktamadkan, hampir 50 peratus daripada penduduk dunia dan lebih 30 peratus keluaran dalam negara kasar global, akan dirangkumi.

Kita juga dijadualkan memeterai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, pengganti kepada Perkongsian Trans-Pasifik pada Mac ini, katanya.

Perdana Menteri berkata pembaharuan dan pengurusan ekonomi Malaysia telah dipuji oleh banyak badan dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

Bank Dunia mengatakan yang kita dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan mereka menyatakan yang, saya petik, 'Ekonomi Malaysia kini sedang berkembang daripada kedudukan kukuh', katanya.

Najib berkata kerajaan komited memastikan perniagaan dan institusi bukan hanya menyediakan nilai bagi pemegang kepentingan mereka dan masyarakat di mana mereka beroperasi, tetapi juga mematuhi standard tertinggi tadbir urus, yang sesuai dengan Malaysia.

Simposium itu yang bertemakan 'Renaissance of Capitalism: Markets for Growth' anjuran Suruhanjaya Sekuriti selama dua hari bermula hari ini, adalah untuk menilai model dan hubungan global yang menyokong pertumbuhan bagi abad ke-20.- 6/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 474  tetamu dalam talian