PH tak yakin menang di Sungai Kandis... - Lokman
- Terakhir dikemaskini: 01 Ogos 2018
Kehadiran pemimpin utama Pakatan Harapan termasuk Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis disifatkan sebagai memalukan diri sendiri.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dengan nada sinis berkata, kehadiran Anwar sebenarnya memberi petanda positif kepada BN dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dan beliau amat gembira dengan keputusan tersebut.
“Ini tanda positif bahawa mereka tidak yakin untuk menang, walhal Sungai Kandis sebuah DUN kecil dan tidak sewajarnya nama-nama besar termasuk Dr. Mahathir untuk turun sekali.
“Tetapi saya percaya Dr. Mahathir yang dikatakan akan datang berkempen tidak akan turun. Sebab apa? Ini kerana ia memalukan beliau selepas berlaku keretakan dalam Pakatan Harapan dan ada yang tidak mahu calon PKR menang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja.
Yang hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad.
Dalam pada itu, Lokman berkata, BN mempunyai polisi tersendiri dalam menjalankan kempen PRK dan tidak akan menggunakan cara 'murahan' bagi menentang lawannya.
“Kita tidak kisah dan tidak ambil peduli kerana kita ada cara serta polisi sendiri. Kita guna dasar lawan dasar, sebab itu kempen berbentuk murahan tidak akan digunakan langsung.
“Kalau kita mahu praktik kempen murahan, kita boleh buat," jelas beliau.-1/8/2018