25September2018

Pertuduhan mengarut... - Shafee

Peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah tidak menjangkakan bahawa dirinya akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM9.5 juta, lima tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua transaksi RM9.5 juta itu mempunyai resit yang dikeluarkan oleh firmanya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai yuran guaman.

“Saya langsung tidak menjangkakan pertuduhan terhadap saya, ini kerana saya hanya terima bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, di sini selepas selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000.

Tambahnya, sebagai peguam adalah tidak wajar untuknya mempersoalkan daripada mana sumber kewangan yang dibayar oleh Najib itu diperoleh.

“Takkan saya nak tanya perdana menteri (Najib) daripada mana sumber wang berkenaan,” katanya.

Muhammad Shafee turut menyifatkan bahawa tuduhan yang dikemukakan kepadanya hari ini adalah bermotifkan politik malahan tidak berasas serta karut.

Sementara itu, beliau memberitahu akan mengemukakan permohonan rasmi untuk mengketepikan bekas hakim mahkamah persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai barisan pendakwaan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Muhammad Shafee kepada Hakim Azura Alwi ketika Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memberikan peluang kepadanya untuk mengatakan sesuatu.

Muhammad Shafee mendakwa bahawa wujudnya hubungan tidak harmoni antara dirinya dengan bekas hakim itu sejak dahulu lagi.

Menurutnya, susulan suasana tidak harmoni berkenaan dengan Sri Ram yang mengetuai barisan pendakwaan, tertuduh melahirkan kebimbangannya untuk mendapat perbicaraan yang adil.

-13/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 356  tetamu dalam talian