23November2017

Persiapan akhir Expo Negaraku 2017 berjalan lancar

Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka bermula 15 November hingga 15 Disember, menempatkan lima kubah utama memperincikan mengenai pembangunan infrastruktur terkini dan akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ekspo infrastruktur terbesar itu bakal mempamerkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan dalam memberi kehidupan sempurna dan sejahtera bagi rakyat Malaysia.

"Expo Negaraku 2017 ini sebahagian usaha dalam memupuk semangat patriotik dan cintakan negara, khususnya terhadap pembangunan yang dikecapi selama ini.

"Kita menjangkakan kehadiran kira-kira 500,000 pengunjung selama sebulan ekspo itu berlangsung yang bertujuan merakyatkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) supaya masyarakat mengetahui projek pembangunan dalam negara serta fungsi EPU selama ini hanya di belakang tabir," katanya.

Abdul Rahman berkata, ekspo itu membawa kelainan apabila lebih 60 peratus Dataran Merdeka didirikan lima kubah yang menghubungkan pintu masuk utama, memperlihatkan prasarana yang dibina khas untuk ekspo infrastruktur berkenaan.

"Misalnya ruang pameran ini berbentuk interaktif dan dibahagikan kepada sektor infrastruktur berlainan termasuk telekomunikasi, tenaga, pengangkutan, dan sebagainya.

"Pengunjung dijangka mengambil masa antara 45 hingga 60 minit bagi melawat keseluruhan pameran dan ekspo ini sesuai untuk semua peringkat umur serta menjadi tarikan utama aktiviti sekeluarga musim cuti sekolah hujung tahun," katanya.

Orang ramai berpeluang menyaksikan pertunjukan cahaya lampu yang dipancarkan pada kubah gergasi di pekarangan Dataran Merdeka, setiap malam.

Selain itu ada tema mingguan iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan pada minggu pertama, diikuti Citarasa Kita, Kebudayaan dan Pelancongan, Permainan Tradisional, diakhiri Aktiviti dan Permainan.

Berikutan ruang parkir terhad, pengunjung digalakkan menaiki pengangkutan awam untuk memudahkan perjalanan.-14/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 659  tetamu dalam talian