15November2018

Pendakwaan Zahid bermotif politik - UMNO Terengganu

UMNO Negeri Terengganu berasa dukacita atas penahanan dan pendakwaan ke atas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ujar Pengerusinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, UMNO Terengganu menghormati proses perundangan negara, namun sejak kebelakangan ini telah wujud persepsi bahawa pendakwaan dan pengguguran kes bukan lagi berdasarkan merit undang-undang tetapi lebih kepada kecenderungan politik.

“Dalam keadaan negara dilanda kemelut dan krisis ekonomi akibat keceluparan dan ketidakmampuan kerajaan meyakinkan pelabur, kerajaan dilihat cuba mengalih pandangan rakyat kepada pendakwaan secara berterusan pemimpin-pemimpin kerajaan lalu.

“UMNO Terengganu berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjadi sebuah badan yang telus dan bertindak atas keadilan, bukannya melaksanakan pelan besar berbentuk ‘witch-hunt’ politik bagi melemahkan parti pembangkang, terutamanya UMNO.

“Kami juga memandang serius tingkah laku Pejabat Peguam Negara yang tampak seakan-akan menyalahguna kuasa budi bicara dalam memula dan memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan apabila membabitkan ahli politik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegas Naib Presiden UMNO itu lagi, banyak kes ahli politik kerajaan telah ditarik dari pendakwaan termasuk kes Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shapie Apdal dan lain-lain tetapi dalam masa yang sama pejabat Peguam Negara tidak segan silu melakukan pendakwaan ke atas pemimpin UMNO walaupun ada kertas kes belum siap sepenuhnya.

“Kami menghormati kuasa budi bicara Peguam Negara menentukan sama ada seseorang itu wajar didakwa atau untuk menggugurkan kes.

“Namun kuasa budi bicara Peguam Negara harus berlandaskan keadilan, bukannya kerana dendam dan agenda politik untuk memusnahkan UMNO dan perjuangan agama Islam dan masyarakat Bumiputera,” tegasnya.

Justeru katanya, UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Presiden UMNO dalam berhadapan serangan pendakwaan bermotif politik ini.

“Insya-Allah kebenaran akan hadir juga suatu masa nanti. Sehingga itu kita akan terus berjuang walau apa tekanan dan penindasan yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

TERKINI, dalam satu kenyataan media SPRM, Ahmad Zahid telah ditahan berhubung siasatan melibatkan dana sebuah yayasan setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Penahanan itu dibuat pada jam 3.15 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Susulan itu, Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ahmad Zahid akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2018, jam 8.00 pagi untuk pertuduhan tersebut.-19/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 943  tetamu dalam talian