14Disember2018

PAS Selangor kata manifesto PH 'tandus idea'

Pakatan Harapan (PH) dianggap ketandusan idea untuk mentadbir negara apabila mengemukakan janji-janji yang tidak jelas kepada rakyat di sebalik manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Perkara itu ditegaskan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Haslin Hasaan apabila beliau menyifatkan manifesto bersama PKR, DAP,PAN dan PPBM itu bersifat umum dan hanya untuk menarik undi semata-mata tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada negara serta rakyat.
 
Mengambil contoh janji memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), beliau menanggap perkara itu sukar untuk dilaksanakan oleh PH kerana hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan menerusi pelaksanaan sistem percukaian itu adalah tinggi.
 
“Justeru, adalah mustahil Pakatan Harapan untuk memansuhkan cukai tersebut kerana ia merupakan antara penyumbang hasil terbesar kepada Kerajaan Persekutuan.
 
“Apabila kita bercakap satu perkara yang besar, langkah untuk memansuhkan GST itu sudah tentunya akan memberi kesan rantaian kepada rakyat, sektor ekonomi yang akhirnya akan kedudukan negara pada masa depan,” katanya.
 
Pada masa sama, Haslin turut membidas PH yang dianggap begitu lemah dalam merangka dasar negara apabila gagal mengemukakan mekanisme atau alternatif khusus bagi menggantikan GST.
 
Walaupun Pakatan Harapan mahu memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau bagaimanapun menyifatkan ia bukan satu langkah yang praktikal kerana sistem percukaian yang dilaksanakan pada tahun 1972 termasuk semasa era Pengerusi gabungan itu, Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri didapati terdedah dengan pelbagai masalah pertindihan serta ketirisan.
 
Dalam masa sama, Haslin yang juga ADUN Tanjung Sepat itu turut menegaskan manifesto PH yang diumumkan pada Khamis lalu itu hanyalah ‘gula-gula’ yang akan memudaratkan rakyat.
 
“Habis ‘gula-gula’ itu, maka habislah manisnya dan rakyat selepas itu akan sengsara. Malah, sebilangan besar janji-janji dalam manifesto itu telah pun dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini,” ujarnya.-12/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 553  tetamu dalam talian