19Julai2018

Muslimin 'duri dalam daging' - Ketua UMNO Sungai Besar

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berterima kasih kepada Pakatan Harapan (PH) kerana mengambil Muslimin Yahya sebagai calonnya bagi kawasan Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau menyifatkan Muslimin, yang sebelum ini merupakan Anggota Jawatankuasa UMNO bahagian itu sebelum menyertai PKR sebagai "duri dalam daging" bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Saya akan mengadakan kenduri kesyukuran dalam jangka masa terdekat dengan 'menumbangkan' seekor kambing bagi meraikan pemergian Muslimin ke PH kerana ia telah membuang 'duri dalam daging' dalam UMNO," katanya kepada Bernama hari ini.

Jamal yang juga pengarah pilihan raya BN Parlimen Sungai Besar berkata, UMNO Bahagian Sungai Besar 'lega dan bersyukur' dengan pemergian "duri dalam daging" itu ke pihak pembangkang.

"Kita patut berterima kasih kepada Pakatan Harapan," katanya secara sinis ketika ditanya tentang tindakan Muslimin menyertai PKR dan akan bertanding sebagai calon pakatan pembangkang.

PH Parlimen Sungai Besar mengumumkan Muslimin sebagai calonnya di kawasan Parlimen Sungai Besar bagi mencabar penyandang kerusi itu daripada BN Budiman Mohd Zohdi.

UMNO dan BN Sungai Besar, menurut Jamal, tidak bimbang dengan pencalonan Muslimin kerana bekas guru itu tidak pernah mendapat sokongan meluas daripada anggota parti dan pernah tewas teruk dalam pemilihan di bahagian itu.

"Beliau tewas di tangan Budiman (dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda Bahagian) dengan keputusan yang agak memalukan, kalah dengan majoriti dua pertiga," katanya dan menambah, ia juga merupakan satu daripada sebab mengapa Muslimin tidak dipilih sebagai calon BN.

Malah beliau juga mendakwa Muslimin merupakan pilihan keempat PH bagi kawsan Parlimen itu selepas penolakan tiga calon lain berikutan kebimbangan akan "kekalahan teruk" pembangkang pada BN di kerusi itu.-28/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 563  tetamu dalam talian