15November2018

Mhd Amin Nordin, Datuk Bandar Kuala Lumpur baru

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Mhd. Amin Nordin bin Abdul Aziz, 59 tahun ( gambar –kiri) dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru untuk tempoh 2 tahun berkuatkuasa 18 Julai 2015.

Beliau menggantikan Tan Sri Haji Ahmad Phesal bin Talib yang tamat tempoh kontraknya pada 17 Julai 2015.

Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dalam satu kenyataan Selasa.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Phesal kerana sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, pelbagai perkara dasar dan pelaksanaan diperingkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah dapat dilaksanakan dengan berkesan dan cemerlang.

Tengku Adnan juga mengumumkan Datuk Hasim bin Haji Ismail, 58 tahun pula dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya yang baru berkuatkuasa 1 Ogos 2015 menggantikan Tan Sri Aseh bin Hj. Che Mat yang tamat tempoh kontraknya pada 31 Julai 2015.

Katanya perlantikan Hasim untuk menerajui Putrajaya diharap dapat meneruskan kecemerlangan yang dibawa oleh Aseh sehingga menjadikan Putrajaya, bukan sahaja sebagai sebuah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika ini, malah dikenali di mata dunia menerusi pelbagai penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia.

“Saya turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Aseh yang telah membawa Putrajaya ke landasan yang tepat serta mewujudkan pelbagai ikon tersendiri untuk bandar pintar dan hijau ini, sekaligus dikenali bukan sahaja dalam negara malah di persada antarabangsa,”kata Tengku Adnan.

Mhd. Amin Nordin bin Abd Aziz yang berasal dari Negeri Sembilan, dilahirkan pada 1 Ogos 1955.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya pada tahun 1978.

Pada tahun berkenaan juga beliau telah mula bertugas di DBKL.

Tempoh selama 37 tahun pengalaman beliau di DBKL akan banyak membantu beliau untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai Datuk Bandar.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam Diploma in Urban Development di University of Birmingham, United Kingdom pada tahun 1986.

Memandangkan rekod perkhidmatan beliau yang cemerlang, beliau dijangka akan dapat mentadbir Kuala Lumpur ke aras yang lebih baik selaras dengan matlamat dan visi DBKL untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bertaraf dunia atau “World Class City” menjelang tahun 2020.

Hasim berasal dari Melaka, dilahirkan pada 8 Mei 1957 merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sosiologi) dari Universiti Malaya pada tahun 1981.

Beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam hal ehwal keselamatan, pentadbiran dan pengurusan kerajaan tempatan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau selama 32 tahun dalam kerajaan.

Beliau yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Dalam Negeri pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Wilayah Persekutuan.

Waktu itu beliau terlibat secara langsung dengan dasar-dasar mengenai Wilayah Persekutuan Putrajaya serta program-program pembangunan lain di Putrajaya.

Ini akan memudahkan beliau menjalankan tugas sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya kelak.- 7/7/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 876  tetamu dalam talian