22September2018

Media Jepun kata pelabur tak yakin dengan dasar Dr Mahathir

Akhbar berpengaruh Jepun, Nikkei Asian Review mendakwa dana saham terus mengalir keluar dari Malaysia disebabkan pelabur tetap tidak yakin bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh mewujudkan laluan pertumbuhan yang berdaya maju.

Akhbar kewangan terbitan Nikkei terbesar di dunia dengan edaran lebih tiga juta naskah itu melaporkan, dasar-dasar kewangan yang tidak kukuh termasuk pemberhentian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan masih menyaksikan penurunan sekarang.

Katanya, ringgit stabil sejurus selepas Dr. Mahathir mengambil alih jawatan pada Mei kerana mempercayai beliau boleh memberi lebih tumpuan kepada pasaran setelah membawa Malaysia keluar ketika kegawatan ekonomi pada akhir 1980-an.

“Tetapi mata wang itu semakin lemah hingga melebihi RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hingga akhir Jun, ketika wujud kebimbangan mengenai kemampuan kewangan negara.

“Kenyataan bahawa hutang kerajaan jauh lebih tinggi daripada sebelumnya dipercayai lebih daripada RM1 trilion menyebabkan keadaan semakin buruk,” jelas laporan tersebut.

Penanda aras indeks FBM KLCI yang kukuh sejak awal tahun, jatuh selepas Dr. Mahathir mengambil alih kepimpinan negara dan sejak itu merudum 10 peratus.

Malah, ketegangan antara AS dan China semakin memberi tekanan kepada pasaran saham Asia dan dasar kerajaan baharu turut menyumbang kepada penurunan itu di Malaysia.

Selepas dua bulan, kerajaan telah memenuhi manifesto untuk menghapuskan GST tetapi ia juga menambah kebimbangan mengenai hasil kewangan negara.

Kerajaan juga menilai semula projek infrastruktur utama yang dilaksanakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu.

Projek kereta api berkelajuan tinggi yang melibatkan Singapura menjadi mangsa kepada perubahan dasar tersebut dengan saham-saham berkaitan infrastruktur itu seperti YTL jatuh.

Selain itu, menurut laporan Nikkei Asian Review lagi, Dr. Mahathir tidak berhenti-henti menangani tanggungjawab kerajaan untuk memerangi rasuah sehinggalah Najib telah didakwa atas tuduhan menggelapkan dana kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kerajaan tidak memberi ba­nyak keyakinan dari segi dasar ekonomi baharu tetapi sebaliknya, Dr. Mahathir telah melaksanakan semula dasar-dasar yang diamalkannya semasa menjadi Perdana Menteri antara 1981 hingga 2003.

“Ini termasuk mencari ruang untuk membentuk sebuah syarikat pengeluar kereta kebangsaan yang baharu dan mempelajari amalan kawalan kualiti Jepun sebagai sebahagian daripada Dasar Pandang ke Timur yang diperbaharui,” katanya.

Tetapi dengan perubahan industri automotif global yang sentiasa berubah, sebarang usaha baharu akan berdepan dengan prospek kejayaan yang tidak jelas.

Proton Holdings, yang ditubuhkan Dr. Mahathir sebelum ini adalah usaha untuk mewujudkan sebuah kereta kebangsaan, tetapi sukar untuk mencapai kejayaan sebaliknya menghadapi jualan yang lembap sejak kebelakangan ini.

Syarikat itu kini dimiliki 49.9 peratus oleh China’s Zhejiang Geely Holding Group.-11/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 456  tetamu dalam talian