16Oktober2018

Malaysia teliti lagi bantuan untuk mangsa gempa bumi di Sulawesi

Bantuan kemanusiaan bagi bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah antara fokus utama pertemuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla di sini Selasa.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Pejabat Naib Presiden Indonesia itu bersempena lawatan kerja seharinya ke Indonesia, Dr Wan Azizah menyampaikan rasa simpati rakyat dan kerajaan Malaysia kepada mangsa bencana yang menimpa wilayah itu pada 28 Sept lepas serta akan membantu meringankan beban mereka.

Katanya bantuan yang ditawarkan Malaysia dan telah diterima kerajaan Indonesia termasuk kemudahan pengangkutan udara melalui sebuah pesawat A400M dan dua buah C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menghantar bantuan ke wilayah itu.

"Kerajaan Malaysia turut menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta dan menubuhkan Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi (TBGBTS) pada 4 Okt lepas bagi membantu mangsa," kata Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Dr Wan Azizah berkata mereka turut membincangkan mengenai hubungan dua hala Malaysia-Indonesia bagi mengeratkan tali persaudaraan sebagai negara serumpun.

Lawatan Dr Wan Azizah ke Indonesia itu adalah kunjungan pertama beliau ke negara berjiran itu sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 21 Mei susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum Mei lepas.

Terdahulu, beliau turut melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo dan bertemu Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Yohana Susana Yembise.

Kunjungan ke Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA) turut dimasukkan ke dalam jadual lawatannnya yang padat bagi melihat tugas penyelarasan semasa yang dilaksanakan oleh pusat berkenaan untuk menghantar bantuan kemanusiaan dari negara anggota ASEAN kepada mangsa gempa bumi dan tsunami  Sulawesi Tengah.-10/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 716  tetamu dalam talian