19Ogos2018

Lupakan projek kereta baru... fokus pengangkutan awam

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya meneruskan projek pengangkutan awam seperti Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3) daripada memulakan satu lagi syarikat kereta nasional, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan tidak harus melaksanakan semula langkah-langkah pelindung yang hanya membebankan rakyat dengan harga kereta dan kos pembiayaan yang tinggi.

"Semasa saya menjadi perdana menteri, saya jadikan satu keutamaan untuk mengurangkan harga kereta secara beransur-ansur menerusi pengurangan cukai beransur-ansur dan dengan memperkenalkan insentif sambil memperluas projek pengangkutan awam," katanya.

Beliau mendakwa susulan itu, harga kereta kini semakin murah berbanding sewaktu beliau mula-mula menjadi perdana menteri manakala penggunaan pengangkutan awam melonjak.

"Bagi jangka panjang, langkah untuk membetulkan masalah legasi masa lalu akan memberi manfaat kepada rakyat dengan penjimatan ratusan bilion ringgit sambil menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih cekap, keberkesanan kos, kurang sesak dan kurang mencemarkan.

"Jangan batal projek-projek pengangkutan awam sedemikian hanya kerana saya yang mulakan dan kembali kepada projek semata-mata atas faktor kebanggaan yang akan lebih memudaratkan rakyat," katanya.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan hasratnya untuk memulakan projek kereta nasional baharu.

Bercakap pada Persidangan Antarabangsa ke-21 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo, beliau berkata Proton yang ditubuhkan pada 1983 bukan lagi kereta nasional.-12/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 500  tetamu dalam talian