17Oktober2018

Ketua Penaja PPBM cuba alih tumpuan dari kemelut parti

Kenyataan Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Ledang yang menafikan lapan bahagian, pimpinan dan akar umbi PPBM membuat aduan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), baru-baru ini didakwa bertujuan mengalihkan tumpuan ramai daripada kemelut yang menggoncang parti pembangkang itu.

Sehubungan itu, bekas Penyelaras Parlimen Kluang, Arjuna Putra Ali, tampil menyangkal dakwaan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penaja PPBM Ledang, Mohd Solehan Badri itu.

Beliau yang merujuk kepada komunikasi WhatsApp dengan AJK PPBM Ledang, Zaharuddin Mat Isa, berkata adalah jelas sekali tindakan Ketua Penaja Ledang itu berunsur menekan dan seolah-olah menggugut jawatan kuasa pimpinan serta akar umbi yang hanya ingin bersuara demi kebenaran serta hak mereka.

Katanya, Zaharuddin turut mengatakan bahawa kenyataan penafian itu adalah daripada Mohd Solehan dan bukan daripada beliau.

"Bagaimana beliau (Mohd Solehan) ingin menafikan, sedangkan Zaharuddin sendiri yang menelefon kami untuk 'pick up' (mengambil) beliau di Tol Lebuhraya Tangkak dan terus bergegas Putrajaya.

"Di sini jelas, tindakan Mohd Solehan hanya ingin mengalihkan tumpuan terhadap kemelut yang melanda PPBM dan pakatan pembangkang.

"Sepatutnya pimpinan Bahagian dan Negeri PPBM menyelesaikan permasalahan berbangkit dengan mendesak pimpinan peringkat atasan, 'menyegerakan perintah atau notis bagi melaksanakan AGM PPBM'," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Arjuna Putra berkata Zaharuddin yang sebelum ini, menjawat jawatan Setiausaha Bahagian Ledang, bersetuju dan menandatangani aduan rasmi yang dibuat kepada ROS, termasuk isu berkaitan Ketua Penaja Proksi.

Katanya, beliau turut difahamkan, yang Zaharuddin telah dilucutkan jawatan dulu, dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PPBM Ledang, baru-baru ini.

"Difahamkan, sebanyak 332 aduan dilaporkan dihantar kepada RoS menjadikan jumlah kesemua aduan adalah 358 aduan membabitkan AJK pimpinan dan ahli akar umbi di 26 bahagian di Johor," katanya.

Berhubung isu perlembagaan rasmi PPBM, Arjuna Putra berkata setiap bahagian perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam waktu 60 hari dan mesyuarat cawangan dalam masa 14 hari, sebelum Persidangan Agung Pusat dapat dijalankan.

"Berhubung tarikh awal mesyuarat Agung PPBM, iaitu mengikut bahagian, adalah amat melucukan dan menunjukkan kelemahan kepimpinan pengurusan atasan parti.

"Ini bermaksud, jika perlu diikut tarikh yang mana setiap Bahagian PPBM perlu mesyuarat dahulu sebelum AGM Pusat PPBM. Ketika ini, 'dikatakan' ada lebih 159 Bahagian PPBM di seluruh negara, maka bila agak - agaknya tarikh AGM PPBM boleh dilaksanakan? Apakah sehingga 2050?," katanya.

Selasa lalu, PPBM Ledang menafikan ada seorang ahli mereka yang didakwa mewakili satu daripada lapan bahagian PPBM di Johor, tampil mengemukakan laporan kepada ROS.

Mohd Solehan Badri menafikan kenyataan daripada Ketua Penerangan PPBM Kluang, Arjuna Putera dalam laporan media sebelum ini, yang memetik perwakilan daripada Bersatu Ledang menyertai gerakan terbabit sebagai sama sekali tidak benar.

Katanya, pembabitan Zaharuddin bersama gerakan itu adalah kerana dikelirukan pihak berkenaan yang tidak memaklumkan tujuan sebenar mereka ke pejabat ROS.-24/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 471  tetamu dalam talian