14Disember2018

Kerajaan tidak cukai orang kaya, Guan Eng terangkan sebabnya...

Kerajaan tidak bercadang mengenakan cukai kemewahan terhadap golongan kaya di negara ini bagi menggelak kejutan terhadap  pasaran modal dan kewangan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, kerajaan kini dalam proses memulihkan kedudukan fiskal defisit yang dihadapi negara dan sebarang dan pengenalan cukai sedemikian seperti cukai keuntungan modal dikhuatiri  akan menjejaskan usaha tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Cukai untuk mengkaji cukai-cukai yang akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2019.

Bagaimanapun, katanya, cukai kemewahan tidak diketengahkan setelah ia mendapat maklum balas daripada beberapa pihak termasuk Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Kewangan.

“Ini berikutan kebimbangan pulangan yang diterima oleh kerajaan tidak akan seimbang dengan kesan impak negatif terhadap pasaran modal dan juga kedudukan kewangan.

“Oleh itu, jika langkah itu dijalankan dalam keadaan fiskal yang agak mencabar ini, ia juga akan merupakan satu kejutan kepada pasaran modal dan kewangan,” kata Lim menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hassan dan Kiandee bertanya kepada Lim kenapa kerajaan tidak mahu mengenakan cukai kemewahan kepada golongan kaya sebagai satu langkah untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Lim berkata cukai sedemikian juga tidak dikenakan oleh negara-negara jiran.

“Saya fikir apa yang kita patut buat sekarang ialah kita jangan terlalu ghairah sehingga kita kejutkan sistem secara keseluruhan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga telah menyasarkan tempoh tiga tahun untuk memulihkan kedudukan fiskal dan kewangan negara, sekali gus meletakkan semula Malaysia ke landasan yang betul.-15/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 716  tetamu dalam talian