13Disember2018

IRC beri taklimat kepada CEP mengenai cadangan pembaharuan

Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) akan bermesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) minggu ini untuk memberi taklimat berhubung laporannya yang dikemukakan kepada majlis itu, Selasa.

IRC dalam satu kenyataan berkata laporan itu mengandungi cadangan-cadangan berkaitan tujuh institusi utama serta pembaharuan kepada undang-undang yang menyekat kebebasan asas.

"Cadangan-cadangan ini adalah apa yang kami anggap sebagai langkah perlu untuk pembaharuan yang diperlukan oleh negara. Bidang pembaharuan yang kami kaji ialah Parlimen; Pilihan Raya; Badan Kehakiman; Pegawai Undang-Undang dan Perkhidmatan Perundangan; Anti Rasuah; Polis dan Imigresen; Komunikasi, Media dan Maklumat serta Institusi dan Undang-Undang Hak Asasi Manusia," kata jawatankuasa itu.

Menurut kenyataan itu, IRC telah mengemukakan beberapa cadangan segera mengenai perkara-perkara, yang dianggap perlu disegerakan, yang sebahagian besarnya telah dimasukkan ke dalam laporan tersebut.

Jawatankuasa menerima kira-kira 1,000 penghujahan, surat dan e-mel daripada orang ramai termasuk penghujahan yang tidak berkaitan langsung dengan skop kajian tetapi ia "menimbulkan isu-isu yang perlu diberi perhatian".

"Kami merujuknya kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk tindakan," kata kenyataan itu.

Di samping itu, beberapa bidang kepentingan kebangsaan yang tidak dapat diselesaikan dengan baik dalam tempoh masa yang singkat, telah dicadangkan untuk kajian lanjut dijalankan.

"Ada representasi bersifat peribadi yang kita tidak dapat tangani kerana berada di luar bidang kuasa Jawatankuasa ini.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang meluangkan masa dan bersusah-payang untuk mengemukakan penghujahan kepada jawatanuasa dan mereka yang menghadiri sesi dialog dengan kami," kata kenyataan itu.

IRC yang ditubuhkan pada 15 Mei, dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk K C Vohrah dan anggotanya termasuk Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Rai, Pensyarah Undang-undang di Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan Datuk S Ambiga.-18/7/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 469  tetamu dalam talian