22September2018

Guan Eng jawab Anwar... pendedahan skandal arahan Mahathir

Calon bakal Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin 'tumpul' pengaruhnya dalam kerajaan baru selepas komen beliau berani disanggah secara terbuka oleh menteri PH.

Komen Anwar supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sensitif membuat kenyataan termasuk pendedahan skandal jawab secara terbuka oleh Setiausaha Agung DAP itu.

Guan Eng menjelaskan bawah pendedahan beliau mengenai skandal kewangan berkaitan 1MDB serta skandal lain dibuat atas arahan perdana menteri.

Menurutnya, beliau juga tidak mempunyai kuasa untuk memberi arahan kepada menteri lain bagi mendedahkan skandal kewangan yang berlaku kerana ia terletak dalam bidang kuasanya.

Tegas Lim, kementeriannya akan terus membongkar semua skandal kewangan dalam tempoh 100 hari seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita harus berani kerana benar," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Anwar ketika diwawancara Astro Awani Selasa menyarankan supaya Guan Eng menyerahkan tanggungjawab membongkar segala salah laku dan penyelewengan kerajaan terdahulu kepada menteri atau agensi lain.

Anwar berkata, Guan Eng perlu mengimbangi antara mendedahkan skandal dan memupuk keyakinan dalam kalangan pelabur.

Menurutnya, Guan Eng juga mesti lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan kerana pelabur akan menggunakannya sebagai rujukan.

Guan Eng berkata, rakyat berhak untuk mengetahui kedudukan sebenar ekonomi dan status kewangan negara. Rakyat tidak mahu kerajaan menyorok atau menyembunyikannya lagi.

Menurutnya, perkara tersebut turut dipersetujui Anwar semasa sesi perjumpaan bersama beliau.

"Saya telah mengambil inisiatif untuk berjumpa dan memberi penerangan kepada beliau mengenai keadaan ekonomi negara dan juga skandal kewangan yang meningkatkan bebanan hutang.

"Keadaan fiskal Kerajaan Persekutuan terjejas kerana hutang yang melebihi RM1 trillion seperti mana yang didedahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran skandal 1MDB dan perbelanjaan boros sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, Anwar juga terkejut dengan impak negatif berhubung penyelewengan kewangan oleh kerajaan lama dalam memalsukan penyata kewangan, menyorokkan fail penyata kewangan dan menanda fail penyata kewangan berwarna merah khas untuk orang tertentu sehingga tidak boleh diakses oleh Ketua Audit Negara.

"Ini telahpun diterangkan kepada Datuk Seri Anwar bahawa semua pendedahan skandal 1MDB dan juga skandal lain di dalam media dibuat atas arahan perdana menteri. Beliau faham mengenai perkara ini." katanya.

Dalam masa yang sama, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau menghargai input yang diberikan Anwar dan mengalu-alukan semua pandangan ataupun maklum balas daripada rakyat bagaimana untuk menyelamatkan ekonomi negara.

"Semua pandangan akan diterima dengan hati terbuka," katanya.

Katanya Kementerian Kewangan juga telah menggariskan rancangan alternatif untuk menangani beban hutang RM1 trilion menerusi penangguhan projek dan penjimatan perbelanjaan kewangan.

"Langkah perbelanjaan berhemah ini diambil tanpa menjejaskan defisit bajet yang terus kekal sebanyak 2.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar," katanya.

Menteri itu berkata, kerajaan Pakatan juga berjaya menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan dan memberikan Bantuan Sara Hidup (dulunya dikenali sebagai BR1M) tanpa menyebabkan Malaysia menjadi bankrap.

"Saya juga telah bertemu dengan pelbagai pelabur serta pengurus dana dari dalam dan luar negara untuk menerangkan dasar kewangan negara," katanya.-20/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 543  tetamu dalam talian