25Mei2017

Cara Korea Utara bolos sekatan PBB... guna Malaysia tubuh syarikat

Selepas pendedahan mengenai gerakan pengintipan oleh Korea Utara di Malaysia, kini terbongkar pula rejim itu bertindak membuka syarikat di Malaysia dengan memperdaya rakyat tempatan bagi tujuan menggelakkan sekatan antarabangsa.

Sumber memberitahu wujud usaha untuk menubuhkan beberapa syarikat gandingan rakyat Korea Utara dan individu Malaysia atas nama komersial, namun hakikatnya menjadi alat menjayakan kepentingan Korea Utara.

“Syarikat ini ditubuhkan bagi menjalankan perniagaan untuk menjana wang ‘menyara’ rejim mereka. Aktiviti mereka termasuk pengubahan wang haram dan juga penjualan barang yang terkandung dalam Akta Perdagangan Strategik,” kata sumber itu.

Menurut sumber, perkara itu bukan baharu malah dikesan dan disedari apabila dimasukkan dalam radar pengawasan pihak berkuasa Malaysia sejak tahun 2005 lagi.

Menurutnya, setiap kali syarikat itu cuba melakukan sebarang bentuk transaksi, polis akan menggagalkan usaha mereka kerana sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebab itu mereka gagal memperoleh sebarang bentuk pulangan atau menjana keuntungan daripada perniagaan mereka. Oleh itu, mereka akan tutup perniagaan lama dan buka perniagaan baharu dengan menggunakan warga tempatan sama ada sebagai pengarah ataupun pemegang saham,” kata sumber.

Laporan PBB sebelum ini meminta negara anggota PBB supaya berwaspada terhadap diplomat Korea Utara kerana terdapat bukti mereka terbabit dalam aktiviti komersial yang kemungkinan bertujuan membantu membiayai kewangan kepada rangkaian haram.

Menurut laporan itu, walaupun dikenakan sekatan, Pyongyang mempunyai kumpulan ejen yang berpengalaman dan terlatih untuk melaksanakan misi memindahkan wang, barang dan manusia termasuk kemungkinan senjata dan bahan terlarang merentasi sempadan tanpa dikesan.
PBB melaksanakan sekatan ke atas Pyongyang bagi menghalang Korea Utara terus membangunkan program nuklear dan peluru berpandu yang dibimbangi boleh menjejaskan kestabilan keselamatan dan keamanan dunia.

Antara taktik yang digunakan ejen Korea Utara untuk menubuhkan syarikat di Malaysia, adalah dengan mendekati individu yang berpengaruh.

Katanya, strategi ini kebiasaannya mendapat restu daripada kepimpinan negara itu dan menjadi lumrah apabila kedutaan atau diplomatnya sendiri membekalkan nama dan mempertemukan ejen mereka dengan rakyat tempatan yang tidak mengesyaki apa-apa bagi menubuhkan sebuah syarikat bagi permulaan kerjasama mereka.

Beliau berkata rakyat tempatan tanpa disedari menjadi sebahagian pemberi maklumat dan pintu masuk kepada warga Korea Utara untuk menjalankan aktiviti mereka di Malaysia.

Bernama turut berkesempatan mengikuti jejak penubuhan beberapa syarikat berkepentingan Korea Utara serta menemu bual rakyat tempatan yang berpengalaman bekerjasama dengan rakyat Korea Utara untuk membuka syarikat di negara ini.

Ketika ditemui, Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Ya’akub berkata beliau berpengalaman membuka 3 syarikat dengan seorang rakyat Korea Utara bernama Kim Chang Hyok sejak beberapa tahun lepas sebelum mengambil keputusan menarik diri dan menutup semua syarikat itu apabila operasi perniagaan tidak menguntungkan.

“Bermula dengan syarikat pertama pada 2005 tetapi kemudian ditutup kerana tiada pulangan akhirnya menjadi 3 syarikat,” katanya yang bersama seorang lagi rakyat tempatan serta Chang Yok menjadi pemegang saham dan pengarah kepada syarikat berkenaan.

Kerjasama pertama itu melibatkan penubuhan International Global System (M) pada 2005 dan selepas ditutup akhir 2010 diganti dengan International Golden Services Sdn Bhd pada 2012, dan selepas itu menyaksikan penubuhan Adnet International (M) Sdn Bhd pada 2015 dan akhirnya turut ditamatkan tahun lepas.

Beliau berkata hubungan kerjasama itu tidak diteruskan apabila pihak berkuasa Malaysia berulang kali memberi amaran untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang perniagaan yang meragukan dengan Korea Utara.

Ditanya mengenai bentuk perniagaan yang diuruskan melalui syarikat itu , Mustapha berkata antaranya pemasaran penjualan peralatan radio medan tempur, iaitu barang ketenteraan yang disekat PBB.-16/3/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 1195  tetamu dalam talian