17November2018

Bursa Malaysia susut di bawah paras kritikal 1,700 mata

Bursa Malaysia terus susut ketika mengakhiri sesi dagangan pagi ini berikutan aktiviti jualan yang berterusan akibat ketidaktentuan serta risiko membabitkan perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China selain faktor harga minyak mentah yang rendah.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut di bawah paras kritikal 1,700 apabila kehilangan 18.47 mata kepada 1,691.28.

Ini merupakan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak 8 Feb, 2017 apabila FBM KLCI ditutup pada 1,688.50.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.69 mata lebih tinggi kepada 1,710.44 berbanding 1,709.75 sewaktu ditutup pada Rabu dan berlegar dalam lingkungan 1,689.0 dan 1,710.71 sepanjang sesi dagangan awal.

Seorang peniaga berkata, kebimbangan mengenai perang dagangan itu beserta harga minyak mentah yang lemah menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada Jumaat, turut menjejaskan minat pelabur untuk mengambil risiko.

Sementara itu, Kenanga Research menerusi satu nota penyelidikannya menyifatkan perang dagangan antara AS-China itu menyebabkan unjuran teknikal secara keseluruhannya kekal tidak memberangsangkan apabila petunjuk teknikal dalam sentimen negatif.

"Indeks itu berkemungkinan susut kepada 1,700 mata dan berkemungkinan 1,680 mata. Bagaimanapun, sekiranya berlaku perubahan positif, kita mungkin menyaksikan indeks tersebut kembali ke paras antara 1,750 dan 1,790," katanya.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 649 berbanding 171 manakala 316 kaunter kekal tidak berubah, 782 tidak didagangkan dan 35 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.23 bilion saham bernilai RM1.07 bilion.

Bagi saham wajaran tinggi, Tenaga susut 32 sen kepada RM13.94, Hong Leong Bank rugi 80 sen kepada RM17.66, Telekon berkurangan 39 sen kepada RM3.24, Public Bank turun 32 sen kepada RM22.46, Axiata merosot 12 sen kepada RM4. 25 manakala Hong Leong Financial turun 72 sen pada RM17.60.

Saham aktif pula menyaksikan MyEG merosot  1.5 sen kepada 98.5 sen, Sapura Energy susut dua sen kepada 60.5 sen, Hubline rugi setengah sen kepada 7.5 sen manakala GSB menokok setengah sen kepada 23.5 sen dan MLab pula tidak berubah pada 5.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 130.37 mata kepada 11,956.12, Indeks FBMT100 turun 125.64 mata kepada 11,743.37, Indeks FBM Emas Shariah susut 142.97 mata kepada 12,040.99, FBM70 berkurangan 146.07 mata kepada 14,560.34 manakala Indeks FBM Ace turun 78.45 mata kepada 5,188.50.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 199.23 mata kepada 16,737.27, Indeks Perusahaan merosot 27.32 mata kepada 3,119.06 manakala Indeks Perladangan kehilangan 26.03 mata kepada 7,546.62.-21/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 686  tetamu dalam talian