15Disember2017

Awas ..taktik last minute pembangkang menjelang PRU14

Pemimpin dan jentera penerangan UMNO mesti sentiasa mengawasi dan bersedia untuk menangani taktik last minute pembangkang pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ada kemungkinan peristiwa penularan berita palsu yang berlaku pada hari-hari terakhir mengundi PRU-13 akan berulang lagi.

Beliau mengambil contoh penularan berita palsu mengenai kononnya Barisan Nasional (BN) membawa masuk 40,000 Bangladesh untuk mengundi.

"Ingat tak pada PRU-13 kita banyak terperangkap di saat akhir kerana tidak ada kaedah untuk menjawab atau menangani isu 40 ribu bangla kononnya dibawa mengundi. Ketika itu bila ia viral siapa yang menjawab?

"Jadi kita kena sentiasa bersedia dengan last trump card yang akan dimainkan pembangkang pada saat akhir.

"Pada PRU-13 juga trump card mereka ialah - BN yakin ia akan kalah dan akan padamkan elektrik di seluruh negara supaya peti undi boleh ditukar untuk menentukan kemenangan BN. Kita terperangkap tak tahu nak buat apa," katanya.

Zahid berkata demikian ketika merasmikan Mini Konvensyen Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Selasa.

Zahid seterusnya mengingatkan ahli-ahli UMNO bersiapsiaga dari sekarang dengan taktik last minute seumpama itu daripada pembangkang supaya tidak terperangkap sekali lagi.

"Gendang perang hampir untuk dipalu dan kita tidak mempunyai banyak masa kerana tempoh waktu yang terakhir untuk mengadakan pilihanraya ialah pada Jun tahun hadapan.

"Di dalam persiapan ini kita kena ada peningkatan dalam pelbagai bentuk dan tidak seharusnya menggunakan acuan yang sama untuk menyampaikan maklumat kepada kumpulan yang berbeza," katanya lagi.

Zahid berkata sistem komunikasi telah berubah dan komunikasi secara langsung melalui media sosial adalah antara pendekatan yang terbaik.

Ini kerana siaran itu boleh diulang-ulang rakamannya dan boleh mencapai tontonan yang tinggi.

"Apabila kita guna pendekatan lama dengan memberi ceramah atau penerangan yang berulang-ulang, pasti kebolehpercayaan orang yang menyokong akan menurun.

"Kita mesti berubah. Berkomunikasi dengan kumpulan kecil dengan kaedah bersemuka. Hanya dengan menggunakan handphone kita boleh siarkan secara langsung apabila kita berceramah dan tularkan.

"Ini adalah medium untuk menyampaikan pesan dalam bentuk baharu kepada orang ramai. Ia boleh diulang kerana ada rakaman. Siapa yang tidak ada handphone? Don't leave home without it. Biar tertinggal isteri jangan tertinggal telefon," katanya dengan nada berseloroh.

Zahid berkata, jika waktu dahulu penulis sering memperkatakan bahawa mata pena lebih tajam dari mata pedang. Tetapi kini handphone merupakan saluran memperolehi maklumat yang baik.

Zahid juga mengingatkan jentera UMNO supaya lebih bijak menangani isu berita palsu yang ditularkan selain aktif menggunakan media sosial.

"Pada hari ini kita selalu terpengaruh dengan fake news (berita palsu) yang apabila diulang-ulang ia seperti sesuatu yang benar jika kita tak bertindak awal.

"Kalau kita tidak ada grup dalam media sosial dan grup yang sebelah sana lebih ramai, maka kita akan tenggelam. Kita ubah pendekatan dari sistem lama kepada komunikasi bersemuka yang harus bertahan tangani berita palsu. Selain berita palsu kita juga kena bijak menangi berita-berita separuh benar."

Zahid seterusnya berpesan kepada ahli-ahli UMNO turun padang terutama menjelang hari pembuangan undi dengan melaksanakan GOTV - (Get Out The Voters).

"Cukuplah Allah menguji kita dua kali. Tuhan uji kita dalam PRU12 dan PRU14. Cukuplah.  Kita harus kerja keras memperkasakan jentera parti," katanya.-5/12/2017- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 884  tetamu dalam talian