24Februari2017

Apa cerita pembukaan Taman Tema Filem Animasi ditangguh lagi...

Bagi yang tidak sempat-sempat lagi hendak berkunjung membawa bersama-sama keluarga  masing-masing ke Taman Tema Filem Animasi (MAPS) di Meru Raya, Ipoh, bersabarlah. Tak lama lagi bukalah ianya kepada umum.

Benar, ramai kecewa apabila dua kali mereka terpedaya dengan kenyataan bahawa MAPS akan dibuka pada bulan Julai tahun lalu kemudian ditangguhkan pula. Muncul pula tarikh baru, 1 Disember tahun lalu juga sebagai tarikh keramat pembukaannya.

Juga ditangguhkan lagi sehingga mengundang “pertanyaan dari Menteri Besar” sendiri mengenainya.  .

Barangkali ada yang tidak kena sehingga kini MAPS masih belum dapat dibuka secara rasmi. Kerajaan negeripun tidak tahu bilakah MAPS  bakal buka.

Namun bagi Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, beliau yakin MAPS akan dibuka selepas masalah teknikal dapat diselesaikan.

Katanya pada media:“Mereka (PKNPk) katakan dalam tempoh beberapa bulan lagi MAPS akan siap, lebih elok saya mintak kepada pihak PKNPk untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.”

Siang tadi (Khamis) pemilik taman tema itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) mengadakan mesyuarat lembaga yang dipengerusikan Pengerusinya Dr.Zambry, yang juga Menteri Besar. Tidak ada sidang media.

Tetapi dipercayai mesyuarat berkisar  salah satunya  mengenai isu MAPS serta permasalahan yang menimpa taman tema itu.

Hadir sama dalam mesyuarat ahli-ahli lembaga pengarah seperti Setiausaha Kerajaan negeri, Pegawai Kewangan negeri dan lain-lain. Kini ahli lembaga pengarah lama tidak lagi kelihatan kerana MAPS kini dikuasai PKNPk selaku pemilik baru.

Dalam twitternya, Menteri Besar memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan beliau serta ahli-ahli lembaga pengarah melakukan lawatan sekitar taman tema.

Soalnya bilakah pula tarikh pembukaanya? Dua minggu lalu (9 Feb.,) ketika soalan ini diajukan Dr.Zambry sendiri tidak tahu serta meminta dibekalkan media maklumat oleh PKNPk selaku pemilik.

Untuk rekod, PKNPk pada mula menjemput media ke sidang media tetapi dibatalkan di saat-saat akhir.

Kita petik komen Menteri Besar pada media bila soalan ini ditanya pada 9 Feb.,lalu. Beliau dalam sidang media itu mengarahkan PKNPk mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan status proses pembinaan MAPS.

Pun begitu MAPS telah memaklumkan kepadanya berikutan penangguhan tarikh siap projek tersebut. MAPS tidak mempunyai sebarang masalah namun kenyataan rasmi berkaitan pembinaan taman tema itu perlu diberikan oleh pihak yang menguruskannya, katanya dan menambah:

“Saya telah tanya perkara yang sama kepada mereka (PKNP) baru-baru ini dan mereka telah jelaskan semuanya berjalan lancar, tiada sebarang masalah cuma tempoh siap itu sahaja dipanjangkan sedikit.

“Ianya lebih kepada faktor menjaga dan memastikan taman teman itu dapat dibangunkan dengan teliti kerana ia melibatkan soal keselamatan serta aspek artistik.

“Mereka telah kata kan dalam tempoh beberapa bulan lagi akan siap, lebih elok saya mintak kepada pihak PKNP untuk mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya.


Yang mengeciwakan  warga Ipoh ialah MAPS yang bakal menjadi pemangkin Tahun Melawat Perak 2017 gagal menempatkan taman tema iu sebagai destinasi utama bagi pelancung dalam dan khusus  dari luar negeri .

Untuk rekod dan berasaskan fakta sejarah  pengumuman bahawa Ipoh atau Meru Raya bakal  memperoleh sebuah taman tema yang diusahakan anak bekas Menteri Besar Perak  dengan kerjasama sebuah syarikat dari luar negara merupakan satu berita paling menggemparkan penduduk bandaraya—terbayang diruang minda sebuah little disneyland di Meru Raya,Ipoh.

Apa tidaknya kerana selain dari Lost World di Tambun (milik Sunways Group) dan Bukit Merah (milik Emkay),tidak ada taman tema baru yang menjanjikan kepuasan maksima bagi penduduk bandaraya Ipoh.

Di negeri seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor, beberapa taman tema yang wujud meraih sokongan diluar jangkaan. Bagi warga Perak, MAPS bakal menjadikan Ipoh ala-ala Disneyland Malaysia.

Justeru pengumuman Menteri Besar bahawa MAPS bakal beroperasi beberapa tahun kemudian (pertengahan  2016) segera disambut positif. Ada yang sudahpun membuat “countdown” menunggu dengan debar pembukaan rasminya.

Bagi yang terlepas pandang kita petik semula komen Pengerusi Animation Theme Park Sdn Bhd, Ramelle Ramli selaku pemilik MAPS (ketika itu, kini tidak lagi menjadi pengerusi)  iaitu taman tema berkonsepkan animasi pertama  di Asia berkata fasa pertama membabitkan pelaburan RM450 juta.

Ide dan wawasan Ramelle jika diterjemahkan menyaksikan MAPS bersifat sesuatu yang  unik dilengkapi lebih 40 permainan (ride), pertunjukan  termasuk zon  DreamWorks Animation yang pertama di Malaysia, drop tower tertinggi di Malaysia, pertunjukan aksi (stunt) kereta secara siaran langsung dan pelbagai gerai makanan dan minuman. Semua  kemudahan direka berasaskan cuaca kita yang tidak menentu—panas dan hujan.

 
Pelaburan bagi fasa pertama membabitkan pelaburan sebanyak RM450 juta. Ekuiti saham seperti berikut, RSG MAPS 51 peratus manakala bakinya, Perak Corps. Bhd.

Menurut Ramelle taman tema itu terletak di tapak seluas 21 hektar berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan (Meru Raya). Ketika  komennya dipetik, katanya pembinaan taman tema ini sudah siap antara 40 hingga 45 peratus.

Mereka menyasarkan kedatangan pelancung antara  1.5 juta ke 1.7 juta pengunjung setahun, yang mana dari angka itu kira-kira 18 peratus  pelancong asing.

Dengan adanya watak BoBoiBoy (yang dihasilkan syarikat MONSTA) yang menjadi kegilaan kanak-kanak tempatan, ia bakal menjadi penyumbang utama kutipan gate. Lebih-lebih lagi pengunjung terdiri dari lawatan keluarga bukannya individu seperti lazim.

Untuk rekod, MONSTA adalah animasi pertama bersifat tempatan bergabung dalam MAPS selepas taman tema itu menjalin kerjasama dengan syarikat animasi kedua terbesar dunia, DreamWorks.Mereka menghasilkan animasi seperti Mr Peabody and Sherman, The Croods, Megamind serta Casper the Friendly Ghost.

Ramelle Ramli juga berkata penyertaan BoBoiBoy bersama MAPS Perak,” semestinya ia akan menjadi daya tarik yang besar memandangkan ia merupakan animasi yang begitu dekat dan amat dikenali kanak-kanak Malaysia.”

MAPS bakal mempunyai 40 daya tarikan termasuk 23 permainan yang berkonsepkan animasi.

Manakala CEO Animation Theme Park Sdn Bhd, (ATP) Darren McLean berkata:“Animasi Malaysia BoBoiBoy kini akan ditempatkan bersama-sama karakter-karakter francais ternama antarabangsa daripada sebuah studio animasi berprestij dunia, DreamWorks Animation yang berpangkalan di Los Angeles. Kami amat teruja kerana para peminat animasi BoBoiBoy juga dapat menikmati keseronokan bersama karakter-karakter kesayangan ramai daripada Mr. Peabody & Sherman, Megamind, The Croods dan Casper the Friendly Ghost.”

Seperti disebut tadi watak BoBoiBoy yang diperkenalkan MAPS  mampu menjadi elemen utama daya penarik kerana sesungguhnya watak dan karakter BoBoiBoy kembali menjadi satu kelengkapan buat dunia kanak-kanak.

Untuk rekod watak BoBoiBoy akan dihasilkan melalui filem pengembaraan 4D yang dihasilkan khusus untuk pengunjung MAPS. Bagi kanak-kanak pula, mereka boleh melawat BoBoiBoy Animation & Sound FX sebuah tarikan “menjadikan”  mereka pengalaman menjadi adiwira (superhero).

Selain dari itu Kokotiam Tok Aba menyajikan makanan dan minuman yang popular dengan minuman koko panasnya. Tidak ketinggalan pelbagai cenderahati BoBoiBoy sedia untuk memikat pengunjung.

MAP juga dilihat bakal melonjakan imej lpoh lebih-lebih lagi bagi menjadikan ia little Disneyland. Ini dilihat berpotensi berasaskan kenyataan Menteri Besar enam bulan lalu bahawa “PKNPk  akan membangunkan dua lagi taman tema. Kedua-duanya ialah taman tema air dan taman tema berteraskan hutan dikawasan Kledang Saiyong yang menelan kos RM1 bilion”.

Katanya  ketiga-tiga taman tema ini bakal merancakkan lagi pertumbuhan pembangunan dan industri  pelancongan yang berteraskan kepada taman tema di negeri Perak.

Kini warga Perak dan Malaysia tidak lagi perlu ke Disneyland sama ada di Hong Kong atau Jepun kerana “little disneyland” di Meru Raya, Ipoh menjanji pengalaman jauh lebih menarik lebih-lebih lagi mengambil kira ekonomi dunia yang tidak menentu untuk anda dan keluarga terbang ke sana.-17/2/2017


loading...
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 931  tetamu dalam talian