23November2017

SPR mungkin siar nama parti gagal hantar wakil

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin menyiarkan termasuk menerusi media massa parti politik yang gagal menghantar wakil ke pusat pengundian dan penjumlahan undi pada PRU14 akan datang bagi meninjau proses pengundian.  

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata pihaknya berpendapat langkah seumpama itu penting bagi mengelak perkara tidak diingini termasuk tuduhan tidak berasas daripada parti-parti bertanding.

"Kita minta parti bertanding di sesuatu kawasan dapat menghantar wakil mereka. Kalau dari 8 pagi hingga 5 petang mungkin boleh buat syif supaya mereka datang dan tengok keadaan (proses pengundian).

"Bila berbangkit sesuatu, merekalah yang akan beritahu (kepada parti) tentang kebenaran apa yang berlaku, jangan sorok perkara sebenar demi kepentingan politik parti," katanya kepada pemberita selepas taklimat parti politik bagi persediaan PRU14 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hashim menegaskan SPR adalah sebuah badan diberi mandat oleh Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan sesuatu pilihan raya dan tidak menyekat mana-mana parti politik selagi ia mengikut undang-undang.

Selain itu, beliau berkata SPR tidak melaksanakan tugas secara sewenang-wenang, sebaliknya ia menjalankan tanggungjawab berpandukan kepada akta-akta berkaitan.

"Kalau ada yang tidak percaya dengan SPR, badan mana lagi dia nak untuk melaksanakan pilihan raya. Bila (badan baharu dilantik) naik, nanti macam-macam tuduhan juga dikatakan," katanya.

Mengenai program hari ini, Mohd Hashim berkata ia diadakan bagi memberi penerangan kepada parti politik di Perak mengenai perjalanan proses pilihan raya untuk mengelak kekeliruan.

"Selain beri ceramah, kita juga buat simulasi mengenai proses itu bermula daripada mendapatkan kertas undi, celup jari dengan dakwat sehinggalah kepada peti undi itu dipatri," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Hashim berkata pada masa ini, terdapat 18 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas layak mengundi, namun daripada jumlah itu hanya lebih 14 juta yang mendaftar sebagai pengundi.

Selain itu, beliau berkata mandat kerajaan sekarang akan tamat pada 24 Jun tahun depan.-7/11/2017

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Bahasa Melayu

English

  • Domestic
  • Overseas
  • Entertaiment
  • Politics

Kami mempunyai 674  tetamu dalam talian