16Oktober2018

Saya tetap berjuang bersama mandat UMNO

MAKLUMAT yang viral hari ini di media sosial mengenai senarai 17 orang Ahli Parlimen UMNO termasuk nama saya yang berpotensi keluar parti adalah dirujuk.

Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut dan ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah merancang, bercadang, berhasrat atau memikirkan mengenai tindakan sedemikian iaitu meninggalkan parti UMNO.

Sebagai seorang pemimpin yang lahir dan melalui perjuangan dalam kilang UMNO serta memenangi kerusi Parlimen Jelebu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket Barisan Nasional (BN)/UMNO, maka saya tidak akan sekali-kali meninggalkan parti keramat UMNO.

Saya akan tetap dengan pejuangan dan mandat UMNO/BN yang diberikan oleh para pengundi dalam Parlimen Jelebu pada PRU-14 serta tidak akan menghampakan harapan dan mengkhianati kepercayaan diberi oleh rakyat kepada UMNO/BN melalui saya di kawasan parlimen ini.

Di samping itu, saya juga berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan parti dalam apa juga keadaan sekali pun.

Saya tidak akan sama sekali menjadi seorang yang bacul atau dayus berpolitik dengan tindakan meninggalkan parti UMO yang telah berjasa kepada rakyat sejak 72 tahun lalu hanya semata-mata BN tewas dalam PRU-14.

Sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, saya optimis melihat bahawa UMNO berpeluang cerah untuk kembali menawan hati rakyat jelata, apatah lagi di saat-saat kerajaan PH sekarang dilihat gagal membela rakyat sepenuhnya.

Akhir sekali, saya berharap ahli-ahli UMNO di seluruh negara bertenang dan tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu yang tersebar di media sosial.


YB DATO' HAJI JALALUDDIN BIN HAJI ALIAS
• Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia
• Ahli Parlimen Jelebu
• Ketua UMNO Bahagian Jelebu
19 September 2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 383  tetamu dalam talian