18Julai2018

Projek ECRL akan terjejas jika Selangor tak beri kerjasama...

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibimbangi akan terjejas jika Kerajaan Negeri Selangor tidak memberi kerjasama yang baik dalam soal menyelesaikan proses pengambilan tanah di negeri itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia akan menyebabkan projek pembinaan laluan rel itu lewat siap berbanding jadual asal pada 2024.

"Kita minta kerjasama Kerajaan Negeri Selangor agar percepatkan pengambilan tanah seperti negeri lain. Kelantan, Terengganu dan Pahang semuanya telah selesai (pengambilan tanah).

"Saya bimbang kalau perkara ini dilambatkan, ia akan jejaskan masa pembinaan ECRL seperti yang kita janjikan. Projek ini dalam proses pembinaan, amatlah penting kerjasama dari Selangor," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Pembinaan ECRL sepanjang 688 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan fasa pertama melibatkan laluan landasan kereta api elektrik melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan jajaran sepanjang 531.6 km dan jajaran sisihan sepanjang 68.7 km.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata kementerian telah meminta Malaysia Airports Holdings Berhad bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk memperketat pemeriksaan dan prosedur pelepasan penumpang bagi semua penerbangan termasuk penerbangan domestik dalam mencegah kemasukan barangan terlarang di negara ini.

Katanya, ini berikutan insiden penahanan lima lelaki yang disyaki membawa dadah disyaki syabu di Lapangan Terbang Sandakan pada Februari lepas.

Sementara itu, Liow berkata rang undang-undang untuk menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (NTSB), yang bakal bertindak sebagai badan penyiasatan bebas terhadap kemalangan melibatkan pelbagai mod pengangkutan, dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober.

"Pada dasarnya, penubuhan NTSB ini telah dipersetujui Kabinet tahun lalu dan sekarang ini kementerian sedang menjalankan sesi libat urus dan perundingan untuk menubuhkan NTSB ini dengan jabatan dan kementerian yang terlibat dengan aspek kemalangan pengangkutan.

"Proses libat urus dan perundangan ini amat penting bagi memastikan bidang kuasa NTSB merangkumi aspek siasatan kemalangan meliputi semua mod pengangkutan darat, rel, maritim dan udara," katanya sambil menambah NTSB dijangka beroperasi tahun hadapan.-20/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 527  tetamu dalam talian