21Jun2018

Polis cari Musa Aman pulak...

Lepas satu-satu... Seorang demi seorang pemimpin UMNO kini diburu pihak berkuasa selepas UMNO dan BN hilang kuasa di Malaysia.

Yang terbaru polis Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman bagi merekodkan kenyataannya dengan segera berhubung siasatan laporan polis Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin terhadap Musa yang dibuat pada minggu lalu, kata pesuruhjaya polis negeri Datuk Ramli Din.

Bagaimanapun, Ramli berkata, polis difahamkan Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu tidak berada di Kota Kinabalu pada ketika ini.

“Kami sedang mencari jalan untuk mendapatkan beliau. (Bagaimanapun), belum ada apa-apa waran dikeluarkan (terhadap Musa) ketika ini,” katanya.

Ramli berkata setakat ini pihaknya telah merakamkan percakapan sembilan individu, dan menurutnya kenyataan daripada Juhar juga telah direkodkan serta-merta selepas laporan polis dibuat pada 14 Mei lepas.

“Kami sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan cuba siapkan dalam masa terdekat. Kita memerlukan kenyataan daripada beliau (Musa) sebelum kertas siasatan dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut,” katanya.

Ramli berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

Pada 10 Mei lalu, Musa telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Mohd Shafie yang juga presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar dua hari kemudian (12 Mei) selepas beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri daripada BN berpaling tadah kepada Warisan.

Enggan meletak jawatan, setiausaha sulit kepada TYT, Abinan Asli pada 14 Mei menyampaikan surat pemberitahuan kepada Musa bahawa beliau bukan lagi ketua menteri.

Susulan itu, pada 17 Mei, Musa memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Juhar dan Mohd Shafie, memohon pengisytiharan bahawa beliau (Musa) kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.-24/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 972  tetamu dalam talian