17Oktober2018

PH tidak mampu pertahan Islam jika perintah negara

Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai kuasa politik yang kuat untuk mentadbir negara seterusnya mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana Pakatan Harapan yang diterajui DAP dilihat tidak mampu untuk melakukannya kerana dalam perlembagaan DAP sendiri, tidak pernah mengakui Islam sebagai agama persekutuan.

“Perlembagaan DAP secara zahirnya mahu menjadikan negara ini sama rata dan pemimpin mereka seringkali menyatakan Malaysia adalah negara sekular… apa jaminan mereka untuk mempertahankan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Yang menerajui Pakatan Harapan pula adalah DAP, jadi kita kena lihat asal usul perjuangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat negeri Pahang di Dewan Tun Razak hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Asyraf berkata parti PAS pula yang selama ini dikatakan memperjuangkan Islam, hanya bertanding 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum nanti, sedangkan untuk memastikan agenda Islam berterusan, ia memerlukan satu parti yang mempunyai kuasa politik yang kuat untuk mentadbir negara.

“Kita tidak menafikan perjuangan PAS untuk menegakkan syiar Islam, tetapi dalam masa yang sama mereka juga tidak boleh menafikan perjuangan untuk membangunkan dan memartabatkan Islam 60 tahun sebelum ini turut dilakukan oleh UMNO.

“Sebab itu selagi BN memerintah negara ini, hak agama Islam akan terus dipertahankan, hak agama lain kita hormati sekali gus ia dapat memastikan keharmonian negara ini dapat terus dikekalkan.

“Itu antara faktor negara luar mengiktiraf Malaysia dan menjadikan negara kita sebagai contoh negara Islam yang sebenar dan berjaya menjamin kemakmuran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM564.9 juta bagi imbuhan imam, guru takmir dan guru KAFA di seluruh negara untuk tahun ini.

Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk bantuan “one-off” diumumkan perdana menteri semasa bajet lalu iaitu sebanyak lebih RM94 juta untuk diagihkan kepada pegawai masjid seperti bilal dan tok siak.

Katanya, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerima peruntukan RM47 juta tahun ini bagi bayaran imbuhan imam, guru takmir dan guru Kafa dan jumlah itu tidak termasuk pemberian “one-off” sebanyak RM8.226 juta seperti diumumkan Perdana Menteri semasa bajet.-13/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 546  tetamu dalam talian