25September2018

PH jangan melencong daripada agenda rakyat

Sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, hanya ada dua premis yang menjadi kunci kepada tumbangnya rejim 60 tahun Barisan Nasional (BN) iaitu, bebanan kos sara hidup rakyat dan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Perkara ini dibuktikan oleh banyak pusat pengkaji politik seperti INVOKE, Merdeka Centre dan Ilham Centre yang secara konsisten menunjukkan isu kos sara hidup sebagai faktor utama yang mendorong rakyat memilih perubahan.

Justeru Teras Pertama dalam Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) dirangka bagi menjawab keresahan rakyat ini. Natijahnya, majoriti rakyat Malaysia melakukan sesuatu yang belum pernah mereka lakukan sepanjang 60 tahun lalu, iaitu menolak BN dan mengangkat HARAPAN.

Menyedari iltizam rakyat yang berani membuat perubahan ini, seharusnya fokus ditumpukan kepada usaha untuk menyelesaikan masalah bebanan kos sara hidup rakyat. Janji-janji utama yang mampu menyantuni masalah ini perlu dilaksanakan segera. Penangguhan bayaran balik PTPTN, peningkatan gaji minimum dan penghapusan tol merupakan janji yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Malah rakyat juga menunggu harga petrol diturunkan walaupun janji HARAPAN untuk mengembalikan subsidi secara bersasar sudah pun dilaksanakan.

Menuju garis penamat 100 hari pertama pentadbiran Pakatan Harapan, sejujurnya belum ada kesan yang terlalu signifikan untuk rakyat terbanyak. Selain adegan tangkap menangkap di sekitar isu 1MDB, rakyat juga hanya menjadi penonton peralihan kuasa kelompok elit atasan.

Pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya mendatangkan euforia yang sementara kerana kesannya terhadap kadar harga barang tidak begitu terasa. Isu peneroka Felda masih tergantung sehingga ikon pejuang anak Felda, Mazlan Aliman baru-baru ini meluahkan kekecewaannya apabila para peneroka masih berdepan dengan kelewatan bayaran sara hidup bulanan mereka.

Rakyat sesungguhnya sedang menanti sesuatu yang meletakkan HARAPAN jauh berbeza dengan rejim terdahulu. Rakyat terbanyak yang telah mengundi perubahan dalam PRU14 yang lepas sudah pasti sedang menanti-nanti pengumuman pemansuhan tol, penurunan harga petrol, penangguhan bayaran balik PTPTN dan peningkatan kadar gaji minima.

Namun rakyat pasti bingung apabila wujud idea untuk melancarkan Kereta Nasional Ke Dua dalam keadaan Perdana Menteri sering menggunakan alasan kekangan dana bagi melaksanakan manifesto yang lebih dekat dengan rakyat.

Ditambah lagi dengan kenyataan Perdana Menteri baru-baru ini yang menggambarkan Malaysia akan kembali menganjurkan perlumbaan Formula 1 di Litar Sepang. Semua ini seolah-olah menunjukkan Kerajaan hari ini sedang gagal mengurus prioriti yang diperlukan oleh rakyat.

Oleh itu Kerajaan Baharu diharap dapat kembali kepada fokus asal dengan memberi penumpuan terhadap pemberdayaan kehidupan rakyat. Rakyat tidak menolak usaha untuk membina Kereta Nasional Ke Dua atau Perlumbaan F1 di Litar Sepang, namun biarlah pemerkasaan kocek rakyat dilaksanakan terlebih dahulu.

Sudah-sudahlah mengungkit kesalahan Kerajaan terdahulu sebagai alasan untuk menangguhkan manifesto. Malah pendedahan demi pendedahan mengenai kecurangan pentadbiran terdahulu juga tidak perlu lagi dijadikan alat politik kerana rakyat sudah pun membuat pilihan.

Rakyat mahukan sesuatu yang berbaloi dengan pilihan yang telah mereka buat dalam PRU ke 14 yang lalu. Kerajaan HARAPAN tidak perlu bersusah-susah untuk memikirkan apakah ‘Wow Factor’ Malaysia Baharu. Cukup sekadar melaksanakan manifesto yang menyelesaikan masalah bebanan kos sara hidup rakyat.-14/8/2018

Penulis merupakan Pengarah Strategi Pemuda Harapan Malaysia

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 390  tetamu dalam talian