20Mei2018

Pembangkang hanya tahu menakutkan rakyat...

Tindakan pihak pembangkang yang berterusan cuba menakutkan rakyat dengan dakwaan bahawa negara akan bangkrap, ekonomi teruk dan sebagainya. Sedangkan pertumbuhan ekonomi negara bertambah baik biarpun dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar hari ini.

2. Begitulah senario yang berlaku saban hari. Telah jelas terbukti bahawa tohmahan pihak pembangkang adalah palsu dan bermotif politik semata-mata tanpa fakta yang kukuh.

3. Sebagai contoh, Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II, berulang kali menyakinkan rakyat bahawa ekonomi Malaysia dalam keadaan baik. Pada tahun 2016, beliau telah mengeluarkan kenyataan meminta rakyat tidak panik berhubung nilai Ringgit yang merosot hingga RM4.4795 berbanding US Dollar pada Disember. Beliau juga memberi jaminan bahawa Ringgit akan kembali pulih dalam masa terdekat.

4. Pada 24 Disember 2016, Ahli Parlimen DAP, Tony Pua pula mendakwa kerajaan gagal mengatasi kejatuhan nilai mata wang ringgit. Bahkan beliau yakin bahawa tiada rakyat Malaysia yang akan percaya dengan kenyataan Johari itu kerana ia tidak membawa apa-apa makna dan jaminan.

5. Namun kini telah terbukti, apa yang dinyatakan Johari adalah benar. Ringgit mengukuh dalam tempoh satu tahun. Pada 30 Januari 2018, nilai mata wang ringgit berbanding US Dollar adalah RM3.8985.

6. Perkara yang sama berlaku pada Mac 2017, apabila Johari menjangkakan kadar inflasi Malaysia, yang meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 8 tahun pada bulan Februari 2017, besar kemungkinan akan berkurangan berikutan penurunan harga petrol. Laporan Bank Negara Malaysia ketika itu menunjukkan harga petrol adalah penyumbang utama kepada inflasi.

7. Namun, kenyataan Johari ini diperlekeh Ahli Parlimen PKR, Rafizi Ramli. Beliau menyatakan Johari sebagai tidak faham perkaitan antara inflasi dengan harga barang. Johari juga disifatkan seolah-olah tidak faham tentang ekonomi.

8. Hakikatnya, kadar inflasi terus menunjukkan trend yang menurun iaitu dengan catatan 5.1% pada Mac 2017 kepada 3.2% pada Julai tahun yang sama. Penurunan inflasi ketika itu merupakan bukti bahawa apa yang diramalkan BNM dan Johari adalah benar, sebaliknya Rafizi hanya bermain dengan tanggapan tanpa asas.

9. Dakwaan yang tidak benar berhubung ekonomi negara bukan sahaja menimbulkan rasa khuatir dalam kalangan rakyat. Rakyat tidak wajar mempercayai sebarang dakwaan yang mengatakan bahawa ekonomi Malaysia akan bertambah buruk seperti yang tersebar di dalam media sosial.

10. Situasi yang berlaku ini membuktikan tohmahan pihak pembangkang meleset jauh daripada kebenaran apabila bercerita tentang ekonomi negara. Ini bezanya antara seorang ahli politik yang tahu tentang apa yang dia cakap berbekalkan pengalaman dalam perniagaan, bidang kewangan dan ekonomi berbanding ahli politik yang tak tahu apa dia cakap dan hanya mengeluarkan kenyataan untuk berpolitik semata-mata.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 683  tetamu dalam talian