22Mei2018

Pantau dan kawal kerajaan selepas PRU14 - PAS

Tsunami politik baru sahaja berlaku sehinggakan Kerajaan Persekutuan beralih teraju daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan-kerajaan negeri juga hampir semuanya dilanda perubahan yang sama. BN hanya menguasai dua negeri sahaja iaitu Pahang dan Perlis.

Tanpa dapat dinafikan, PAS juga sebahagian daripada tsunami itu; kerana itu PAS kekal di Kelantan dan memenangi Terengganu selain berjaya menambah jumlah kerusi DUN di seluruh negara dan meraih kemenangan di 18 kerusi Parlimen.

Keputusan PRU14 ini menunjukkan tekad rakyat bagi menterjemahkan penolakan terhadap dasar dan polisi Kerajaan yang diterajui oleh BN selama ini yang telah membebankan kehidupan mereka.

Sekalipun pelbagai habuan bernilai besar masih dihidangkan sehinggakan pada malam terakhir sebelum hari pengundian, rakyat tetap memilih untuk tidak lagi mengundi BN.

Rakyat mahukan perubahan. Perubahan yang lebih baik berbanding yang sedia ada. Rakyat mahukan pemimpin yang berintegriti dan berakhlak; pengurusan ekonomi yang adil dan diberkati; kerjasama semua pihak dalam seruan dan gerakan kebaikan dan kebajikan; pencegahan salah laku dan jenayah yang berkesan serta gagasan kenegaraan jangka panjang yang lebih terarah dan menyeluruh.

Maka selesailah sudah episod pemilihan dengan tumbangnya BN yang telah luput ciri-ciri ini setelah 60 tahun memerintah Malaysia.

Kini, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri sedang dalam proses melengkapkan pembentukan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab terhadap negara atau negeri dan rakyat.

Kita selaku pengundi yang telah membuat pilihan pada PRU14 baru-baru ini mesti terus menjalankan kewajipan berikutnya iaitu memantau dan mengawal kerajaan yang baru dibentuk ini. Dibimbangi, sekiranya kita terlalu selesa selepas telah tumbangnya BN, akan muncul lagi BN kedua dengan nama yang baru.

Kita mesti memastikan dasar dan polisi yang digubal kerajaan adalah seimbang dan baik untuk rakyat dan negara serta berteraskan perlembagaan dan undang-undang. Kita mesti memastikan orang yang betul diletakkan di tempat yang betul bagi melaksanakan potrtfolio kementerian dan jawatankuasa yang diwujudkan. Kita mesti memastikan projek dan program yang disusun dilaksanakan secara telus, bebas rasuah dan kronisme.

Sekiranya kelihatan tanda-tanda ke arah sebaliknya, bahkan sebelum ia berlaku pun, kita mesti melakukan Amr bil Ma'ruf wa Nahy an al-Munkar terhadap kerajaan yang memerintah, bermula dengan memberikan nasihat dan teguran disusuli dengan tindakan yang lebih tegas jika perlu.

Pendirian dan sikap PAS terhadap Kerajaan Persekutuan tetap sama tanpa mengira DS Najib Razak atau Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, tanpa mengira BN atau PH yang menerajui kerajaan adalah sama sahaja iaitu taawun.(kerjasama) atas dasar kebajikan dan taqwa.

PAS sedia menyokong dan menolong pada perkara yang baik. Namun, PAS juga bersedia membantah dan menghalang apa juga tindakan yang merugikan rakyat dan negara lebih-lebih lagi yang membelakangkan kedudukan dan peranan Islam dan umat Islam di negara ini yang telah dijamin oleh perlembagaan.

Justeru, saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk kita terus menjadi pengundi yang bertanggungjawab bukan sahaja dengan membuang undi pada hari pengundian, bahkan juga menjadi pemantau dan pengawal yang berkesan sepanjang tempoh mandat memerintah ini diberikan kepada parti-parti politik berkenaan.

Semoga Allah memelihara kita semua daripada tipu daya dan bala bencana.

YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 15hb Mei 2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 832  tetamu dalam talian