20September2018

MBM rayu selesaikan isu penangguhan kuota pinjaman kemahiran

MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) merayu kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) agar dapat menyelesaikan dengan segera isu penangguhan kelulusan kuota pinjaman latihan kemahiran di bawah Skim Pinjaman Lepasan Sekolah (PTPK) untuk belia yang tidak berpeluang masuk ke Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Surat makluman akan penangguhan bantuan ini kepada penyedia latihan kemahiran sememangnya memberi kesan besar yang negatif kepada golongan belia lepasan SPM 2017 yang masih ternanti-nanti peluang melanjutkan pelajaran ke aliran pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

Selepas tidak berpeluang masuk ke ILKA, maka Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) adalah pilihan terakhir yang mereka ada.

MBM berpandangan bahawa isu dan cabaran pendidikan tinggi termasuk TVET perlu diselesaikan serta-merta sama ada pendekatan jangka masa pendek atau panjang dan hak mendapatkan pendidikan tidak boleh terhalang hanya disebabkan hal pentadbiran di peringkat kementerian atau jabatan mahupun agensi kerajaan.

Tempoh antara Mac hingga Julai 2018 selepas keputusan SPM 2017 diumumkan adalah tempoh yang panjang bagi golongan belia lepasan sekolah menunggu peluang melanjutkan pelajaran dan penangguhan bantuan kuota akan menyebabkan ILKS tidak akan membuat pengambilan pelajar baru.

Ini akan mendatangkan kekecewaan besar kepada belia dan keluarga mereka yang mengharapkan mereka melanjutkan pelajaran dengan bantuan pinjaman latihan kemahiran daripada PTPK.

Penangguhan ini juga bakal menyebabkan pertambahan bilangan belia yang memasuki alam pekerjaan dengan kelayakan akademik serendah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga penambahan angka pengangguran di kalangan belia.

Lebih membimbangkan akan wujud situasi belia yang terjebak dengan masalah sosial gara-gara disebabkan tidak mempunyai halatuju selepas tamat persekolahan menengah.

Justeru, MBM yakin Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperhalusi semula keputusan penangguhan dan mencari jalan penyelesaian segera agar belia kita berpeluang mendapatkan pendidikan TVET yang mereka impikan selama ini.

MOHAMMAD RIZAN HASSAN
KETUA PENERANGAN
MAJLIS BELIA MALAYSIA

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 472  tetamu dalam talian