15November2018

Mazlan Bujang, bakal Menteri Besar Johor yang baharu?

Akhir-akhir ini kita dapat lihat Menteri Besar Johor, Dato Osman Sapian sering dikecam oleh rakyat Johor kerana displin yang teruk ditunjukkan dan sering membuat kenyataan yang melulu. Bukan itu sahaja, malah beliau juga pernah ditegur oleh Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Tan Sri Muhiyiddin Yassin kerana tindakannya mengeluarkan kenyataan yang bersikap kejam terhadap rakyat Johor di mana enggan memberi peruntukan Adun pembangkang di negeri Johor.

Terbaru, ada satu khabar angin yang mengatakan bahawa Part Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor bakal dirombak semula. Adakah ini bermakna negeri Johor bakal mempunyai Menteri Besar yang baharu dalam tempoh kurang daripada setahun?

Biarpun, Dato’ Osman Sapian masih menyandang jawatan sebagai Menteri Besar Johor. Namun, nama Mazlan Bujang, Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri dan Khuzzan Abu Bakar, Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri disebut-sebut untuk menggantikan tempat Dato Osman Sapian sebagai Menteri Besar yang baharu.

Malah, akhir-akhir ini juga kelihatan tindak tanduk Menteri Besar dengan Exco-exco Negeri Johor  tidak sekufu atau tidak sehaluan lagi dalam membuat sesuatu keputusan mengenai hal ehwal negeri Johor.  

Misalnya, tempoh hari Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang ada mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan pembinaan semula jambatan bengkok. Dapat dilihat Mazlan Bujang sememangnya tidak ada halangan untuk menolak projek berkenaan. Malah beliau juga berpendapat bahawa jambatan bengkok ini relevan untuk diwujudkan bagi menjana pendapatan negeri.

Persoalannya adakah ini salah satu taktik yang digunakan oleh Mazlan Bujang untuk mengambil hati Tun Mahathir. Maklumlah seperti yang kita ketahui projek jambatan bengkok ini sudah sekian lama menjadi impian besar Tun Mahathir sejak bergelar Perdana Menteri Ke-4. Jadi tidak hairanlah jika Mazlan Bujang ingin melayan ‘karenah’ Tun Mahathir yang sebelum di tolak oleh banyak pihak.

Tetapi tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja semalam (30 Oktober 2018), Menteri Besar, Osman Sapian telah mengeluarkan satu kenyataan yang bercanggah dengan kemahuan Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang. Dalam satu laporan dari Portal Malaysiakini, Osman Sapian mengutarakan usul bahawa pembinaan jambatan ketiga bakal dibincangkan kerajaan Johor dalam satu mesyuarat di Singapura pada bulan hadapan.

Jadi timbul kekeliruan di sini, apakah perancangan sebenar untuk pembangunan di Johor? Jambatan bengkok seperti kemahuan Mazlan Bujang atau jambatan ketiga yang diusulkan oleh Osman Sapian?

Bukan itu sahaja, Osman Sapian juga mempunyai kenyataan yang bercanggah dengan salah seorang lagi exco negeri iaitu Exco Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berhubung dengan pengambilan ahli UMNO. Sebelum ini, Jimmy Puah berkeras menolak ahli UMNO diserap masuk ke dalam Pakatan Harapan. Tetapi lain pula di pihak Osman Sapian yang mengalu-alukan kedatangan ahli UMNO ke dalam Pakatan Harapan. Jadi yang mana sebenarnya betul?

Melihat percanggahan demi percanggahan ini, adakah sememangnya benar Menteri Besar, Osman Sapian dengan Exco-exco negeri sudah tidak sehaluan lagi?

Dan jika ia benar, adakah Mazlan Bujang bakal Menteri Besar Johor yang baharu?

Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 948  tetamu dalam talian