14Ogos2018

Manifesto BN Perak terus beri khidmat terbaik

Tanpa mengambil `peduli' serangan tohmahan dan fitnah pihak pembangkang, Barisan Nasional (BN) Perak meneruskan agendanya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan mengariskan  7 Tekad yang bertemakan ‘Demi Kemakmuran dan Kesejahteraan’ dalam Manifesto parti itu sempena Pilihan Raya Umum Ke 14.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi BN Perak berkata, usaha meringankan kos  sara hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan adalah antara tujuh tekad yang ditekankan BN Perak dalam Manifesto itu  yang dilancarkan hari ini.

Katanya, tujuh tekad itu pertama mengukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan pelaburan, kedua meringankan kos sara hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan, ketiga perumahan, keempat mengupayakan modal insan dengan menjamin peluang pendidikan.

Kelima menjamin kesejahteraan, keselamatan dan keamanan, keenam Kelestarian dan pembangunan mapan, ketujuh Perak sebagai destinasi antarabangsa.

Menurut Dr Zambry, BN Perak mempunyai ‘track record’ yang baik sepanjang beliau memimpin negeri itu.

``Kita bukan menjadi pemimpin yang kerjanya  hanya berpolitik dan menghina pihak lawan ...itu semua buang masa.

``Kita dipilih oleh rakyat dah bekerja untuk rakyat.Biarlah DAP nak cakap apa. Mereka hina kita tetapi kita akan tetap terus bekerja demi rakyat,” katanya semasa berucap melancarkan Manifesto BN Perak di kediaman Menteri Besar, Ipoh pada Sabtu.

Dr Zambry berkata, sejak tiga tahun lalu, kerajaaan negeri telah menggerakkan pelbagai usaha dalam membantu mengurangkan kesusahan penduduk dengan menyediakan kedai bergerak Amanjaya di kawasan-kawasan pedalaman.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengupayakan penduduk, tetapi turut mendapat pengiktirafan dan dijadikan contoh negeri-negeri lain.

``Kita tahu apa yang rakyat rasa, kita lihat keadaan dan fikir bagaimana untuk mengurangkan kepayahan ini, kerana itu kita sediakan lori-lori bergerak dan masuk ke kawasan kampung-kampung bagi menjual barang keperluan dengan harga jauh lebih murah.

"Sekarang ini, negeri lain ikut cara kita, kerajaan Persekutuan juga lihat bagaimana cara kita laksanakan," katanya.

Antara yang terkandung dalam teras berkenaan adalah mewujudkan pusat pengedaran Kedai Bergerak Amanjaya di setiap daerah juga jaringan majikan pintar dengan tawaran kerja oleh 1,000 syarikat swasta melalui program brain gain iaitu menjana peluang pekerjaan di negeri sendiri.

Zambry berkata, sejak lima tahun lalu, lebih 40,000 peluang pekerjaan telah dijana di negeri ini untuk diisi anak-anak Perak pelbagai peringkat kelulusan akademik.

BN Perak turut menawarkan penambahan 35,000 rumah mampu milik bagi tempoh 2018 hingga 2023 dan menaikkan pemberian air percuma kepada golongan miskin daripada 20 ke 30 meter padu, sementara 20 kepada 90 meter padu untuk rumah ibadat.

Selain tujuh tekad utama, katanya,  BN Perak turut menawarkan tawaran kepada tujuh kumpulan utama iaitu wanita, orang muda Perak, orang kita, orang kurang upaya (OKU), orang kampung, orang taman dan warga emas.

Antara tawaran kepada kumpulan belia adalah penyertaan 30 peratus  dalam struktur pentadbiran dan penyediaan lima peratus kuota perumahan yang dibangunkan oleh kerjaaan untuk anak muda negeri ini.

BN turut memperkenalkan program perintis khusus untuk belia Orang Asli serta menjanjikan tiada kenaikan cukai tanah di kampung tradisional, kampung baru, rumah mampu milik serta rumah kos rendah.

Zambry berkata, kandungan manifesto yang ditawarkan merupakan strategi pembangunan bagi menjamin pertumbuhan negeri Perak pada masa akan datang.

Menurutnya, ia digariskan bukan hanya sekadar satu janji, namun berlandaskan pengalaman mentadbir juga kemampuan  kerajaan untuk melaksanakannya.

"Hampir 75 peratus kandungan manifesto kita merupakan pelaksanaan baru dan kita juga meneruskan kesinambungan pelan pembangunan yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Menurut Dr Zambry, antara yang menarik dalam manifesti ini adalah, BN Perak menjanjikan tiada kenaikan tarif air di negeri itu dalam tempoh 5 tahun sekiranya terus diberi mandat.

Selain itu, BN Perak juga tidak akan mengenepikan masyarakat Orang Asli dimana pelbagai bentuk program kecemerlangan murid serta tabung khas pengupayaan Orang Asli disediakan.

BN Perak juga akan terus komited untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan di kawasan perumahan meliputi tempat-tempat riadah, taman permainan kanak-kanak, kerja-kerja penurapan jalan dan pembersihan longkang.

Bagi masyarakat luarbandar, BN Perak akan mengecualikan kenaikan Cukai Tanah sekiranya terus diberi mandat untuk mentadbir neger itu.-23/4/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 479  tetamu dalam talian