14Disember2018

Malaysia bawa balik dana 1MDB - Mahathir

Wang yang dicuri dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak US$4.3 bilion akan dibawa balik ke Malaysia walaupun mungkin tidak kesemuannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) kata jumlahnya kira-kira US$4.3 bilion. Kita berharap untuk mendapat balik jumlah itu tetapi mungkin sebahagian besar daripada jumlah itu telah hilang sebelum ini,” katanya. Bagaimanapun, wang itu mungkin tidak dapat dibawa balik dalam masa yang cepat kerana terdapat pelbagai proses yang terlibat, kata beliau.

“Mula-mulanya anda perlu membuktikan bahawa wang itu adalah milik anda. Setelah anda dapat membuktikannya sudah tentulah ada proses-proses yang harus dilalui. Mereka bukan boleh sekadar mengutipnya lalu menyerahkannya kepada anda di depan kaunter.

“Jadi, sudah tentu ia akan mengambil masa. DOJ telah berjanji akan memulangkan wang itu kepada kita,” katanya pada sidang media, semasa ditanya sama ada Malaysia sudah mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa balik wang itu.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengenakan tindakan-tindakan menghukum terhadap bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs Group, yang terlibat dalam skandal 1MDB dan sedang disiasat oleh DOJ, Dr Mahathir berkata: “Kami yakin kepada kedaulatan undang-undang.”

Goldman Sachs memperoleh bayaran kira-kira US$600 bagi urusan dengan 1MDB itu, termasuk tiga penawaran bon pada 2012 dan 2013 yang telah mengumpul dana sebanyak US$6.5 bilion.

Menurut laporan, pihak pendakwa Amerika Syarikat telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap dua bekas jurubank Goldman Sachs awal bulan ini. Seorang daripadanya, Tim Leissner, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan konspirasi pengubahan wang dan berkonspirasi untuk melanggar undang-undang di bawah Akta Amalan Rasuah Luar Negara.

“Jika seseorang didapati telah melakukan jenayah mengikut undang-undang, maka dia akan dihukum dengan hukuman setimpal mengikut proses undang-undang. Tidak kiralah siapa dia. Dia mungkin Goldman Sachs atau mungkin sesiapa jua.”

Justeru, jika mereka didapati telah melanggar undang-undang dan terdapat bukti yang mencukupi maka kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan mengikut undang-undang, kata beliau.-13/11/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 715  tetamu dalam talian