14November2018

Mah, Pesuruhjaya Tinggi Britain bincang isu minyak sawit

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell bagi membincangkan cadangan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menghalang penggunaan bahan api bio dan tenaga daripada sumber sawit menjelang 2021.

Mah berkata Malaysia membantah sepenuhnya resolusi bersifat diskriminasi tersebut, yang menjejaskan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia, memandangkan penggunaan minyak sayuran lain masih dibenarkan bawah perundangan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu (RED) sehingga 2030.

“Treadell berkongsi pendapat, pengharaman penggunaan minyak sawit lebih awal berbanding minyak sayuran lain tidak adil dan bertentangan semangat amalan perdagangan bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Mah merakamkan penghargaan kepada ahli parlimen EU dari United Kingdom (UK) yang menentang resolusi pengharaman minyak sawit pada Januari lepas, terutamanya anggota parlimen mewakili Parti Konservatif UK.

Beliau berkata, potensi kerjasama masa depan antara Malaysia dan UK terutamanya meneroka pembangunan produk hiliran bernilai tambah tinggi berasaskan sawit bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi baharu turut dibincangan dalam pertemuan tersebut.

“Kedua-dua pihak bersetuju menganjurkan rundingan meja bulat dengan para peneraju utama industri sawit tempatan, bakal pelabur serta pakar teknikal Malaysia dan UK,” katanya.

Mah turut memaklumkan beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Eropah bagi Misi Rundingan Sawit Malaysia-EU bermula Sabtu ini (10 Februari).

Selain bertemu beberapa pesuruhjaya EU serta pembuat dasar, misi rundingan itu juga melibatkan pertemuan bersama wakil kerajaan dari 6 negara EU iaitu Jerman, UK, Belgium, Sepanyol, Itali dan Poland.

“Misi ini bertujuan berunding dengan anggota mesyuarat rundingan 3 hala dari negara berpengaruh bagi mendapatkan sokongan dan menyampaikan pendirian tegas Malaysia berkenaan ketidakadilan terhadap industri sawit,” katanya.-8/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 366  tetamu dalam talian