22September2018

Kini masanya fokus bangunkan semula UMNO

Kini adalah masanya bagi anggota-anggota UMNO memberi tumpuan kepada proses membangunkan semula parti itu memandangkan ia tidak lagi mentadbir negara, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata dengan UMNO kini tidak lagi dibebani dengan tanggungjawab besar itu, ia membolehkan usaha-usaha dilakukan untuk membangkitkan semangat lebih 3 juta anggotanya bagi membentuk semula parti itu.

Katanya usaha itu mudah dilakukan kini setelah kekeruhan akibat isu negatif dan fitnah terhadap parti sudah berakhir.

"Ketika ini, tiada lagi isu-isu sensitif yang dikaitkan dengan UMNO yang telah menyebabkan kita kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Ibaratnya keruh di hulu sudah tiada, kini di hilir kita mendapat air jernih, " katanya pada sidang media selepas majlis Aidilfitri dan sesi pengenalan calon-calon bagi Pemilihan UMNO 2018-2021 di Seremban.

Turut hadir Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamad, yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan itu, berkata dalam usaha membentuk semula UMNO, pemilihan pemimpin parti merupakan proses yang paling penting dan mesti dibuat dengan teliti untuk memilih calon yang ada kredibiliti.

"Dalam memilih calon, pertama kena tengok eloknya iaitu pemimpin kena baik budinya, rendah diri serta mempunyai integriti yang tidak boleh dipersoal dan kedua, kena tengok pandainya, kalau hanya pandai tetapi cuba menjual negara buat apa.

"Jangan pilih kerana kawan, orang UMNO kena buat kaji selidik calon supaya mereka tahu layak atau tidak pemimpin yang akan dipilih untuk mentadbir UMNO, " katanya.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau akan bersaing dengan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam merebut jawatan nombor dua parti itu.

Mohamad berkata meskipun UMNO kini menjadi pembangkang, parti itu akan meneruskan tugas dan amanah dalam membela maruah orang Melayu termasuk kedaulatan institusi diraja.-23/6/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 365  tetamu dalam talian