09Disember2018

Kepada Syed Saddiq: GPMS bukan 'macai politik'

Merujuk kepada ucapan YB Menteri Belia dan Sukan yang secara terang-terangan menyatakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan beberapa persatuan belia lain sebagai macai politik bagi parti pemerintah.

GPMS Negeri Perak menzahirkan rasa dukacita dan terkilan dengan tindakan serkap jarang oleh YB Menteri Belia dan Sukan yang menyatakan GPMS sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) belia berstatus “macai politik” tanpa disokong sebarang hujah berfakta.

GPMS Negeri Perak sesungguhnya menegaskan bahawa GPMS bukan macai politik untuk mana-mana parti politik mahupun ahli politik. Agenda perjuangan GPMS sejak tahun 1948 hingga kini yang sudah menjangkau usia 70 tahun tidak pernah berubah dalam memperjuangkan pendidikan pelajar Melayu sebagai keutamaan kami dan kami akan terus kekal menjadi kumpulan pendesak utama dalam membincangkan isu-isu pendidikan.

Selanjutnya, GPMS Negeri Perak menegaskan di sini bahawa GPMS merupakan NGO yang penuh dengan sejarahnya tersendiri malah telah berjaya melahirkan ramai pemimpin utama di negara ini yang mungkin berada di luar pengetahuan YB Menteri Belia dan Sukan.

Saban tahun GPMS dan pejuang-pejuangnya berstatus sukarelawan menyantuni ribuan pelajar di seluruh Malaysia dalam memberikan input teknik belajar serta membina sahsiah diri para pelajar termasuklah kepada pelajar bukan Melayu.

Selain itu, Dr Mahathir Mohamad, Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Abdullah Ahmad Badawi merupakan antara pengasas GPMS serta pejuang GPMS dalam zamannya masing-masing. Malah, diingatkan juga bahawa penasihat Pakatan Harapan Negeri Perak terkini iaitu YBhg Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini juga adalah salah seorang pemimpin GPMS.

Selami dahulu GPMS barulah berkata-kata. GPMS merupakan NGO belia yang ahlinya mempunyai kepelbagaian ideologi, latar belakang dan pegangan politik.
Kami barang kali merupakan NGO tunggal di negara ini yang sedikit sebanyak telah dan masih mampu menyatukan pelbagai fahaman di bawah satu payung pertubuhan belia dengan mengenepikan ideologi politik serta bergerak dalam satu saf apabila menyentuh isu pendidikan Melayu dan semua kaum.

Kami terima hakikat bahawa GPMS menerima suntikan dana daripada pihak kerajaan iaitu pemerintah tetapi harus diingatkan, bantuan tersebut bertujuan untuk menggerakkan program pendidikan dan motivasi pelajar yang jelas tiada unsur politik dalam apa jua bentuk sekalipun.

Malah, ingin kami tegaskan di sini bahawa lebih banyak wang, masa dan tenaga peribadi telah dihabiskan oleh para pejuang GPMS dalam menggerakkan perjuangan ini tanpa mengaut sebarang keuntungan peribadi semata-mata.

GPMS sebagaimana pertubuhan belia yang lain tetap terus menghormati dan menjiwai intipati Seksyen 2, Tafsiran, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) antara lainnya menyatakan seperti berikut:

“pertubuhan belia” ertinya mana-mana pertubuhan yang mempunyai ciri-ciri  yang berikut :

(a) Mempunyai nama yang mengandungi perkataan “belia” atau suatu perkataan yang mempunyai pengertian yang seumpama atau sama dengan belia;

(b) Kesemua anggotanya hendaklah berumur tidak kurang daripada lima belas tahun dan tidak lebih daripada empat puluh tahun atau mana-mana gabungan atau kumpulan pertubuhan yang keanggotaannya hendaklah berumur tidak kurang daripada lima belas tahun dan tidak lebih daripada empat puluh tahun; dan

(c) Mempunyai objektif untuk menjalankan aktiviti-aktiviti belia.

Mungkin YB Menteri Belia dan Sukan tidak pernah melaluinya kerana tidak pernah berada dalam organisasi persatuan belia ini sendiri dan kini telah menjadi Menteri Belia dan Sukan. Malu bertanya sesat jalan. Ya, GPMS ada menerima dana daripada pihak kerajaan, tetapi bukan bermakna kami menjalankan program yang menyokong agenda politik kerajaan.

Kami tegaskan bahawa isu pendidikan adalah isu yang hendaklah dikupas di luar sisi pandang politik. Malah, GPMS adalah antara pengkritik tegar atas kekerapan perubahan dasar pendidikan di negara ini kerana pertukaran menteri dan ideologi politik.

Jika ada sekalipun sebarang kenyataan yang cenderung terhadap kerajaan pemerintah, hal itu lebih menjurus kepada keputusan kepimpinan dan tidak sama sekali membawa hasrat keseluruhan ahli GPMS yang cukup besar.

Dalam mengangkat semangat reformasi, sikap YB Menteri Belia dan Sukan juga turut perlu berubah. Kami sangat menyokong hasrat YB Menteri untuk menggesa agar persatuan belia harus terbuka dan bebas dari cengkaman politik serta harus menjadi kumpulan pendesak yang bermanfaat, bahkan itu juga menjadi hasrat kami ahli terbanyak GPMS untuk kekal non-partisan, tetapi tindakan YB Menteri melebel kami sebagai macai adalah sangat mengguriskan hati kami.

Memetik ucapan Anwar Ibrahim baru-baru ini di Sungai Kandis, beliau mengingatkan agar menteri-menteri Malaysia baharu kini jangan sesekali angkuh dan celupar. Kepada YB Menteri Belia dan Sukan, kami sedar bahawa maju, mundur, kaya, miskin dan hina mulianya bangsa itu di tangan kami. YB Menteri Belia dan Sukan bagaimana? Belajar Terus Belajar!-3/8/2018

Penulis merupakan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 406  tetamu dalam talian