16Oktober2018

Kedaulatan Pulau Batu Puteh perlu dipertahankan

Kita sedia maklum Pulau Batu Puteh atau nama lainnya Pedra Branca merupakan isu yang melibatkan tuntutan bertindih dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

Pada bulan Februari 2017, Malaysia telah bertindak memfailkan beberapa dokumen dengan tiga alasan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai bukti untuk melakukan semakan semula terhadap tuntutan tersebut.

Namun pada bulan Mei tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah bertindak untuk menarik diri dari meneruskan prosiding semakan keputusan kes Pulau Batu Puteh.

Pada pandangan saya sebagai anak muda ini merupakan satu keputusan yang terburu-buru tanpa berfikir panjang.

Sepatutnya prosiding mencabar keputusan kes Pulau Batu Puteh ini harus diteruskan dan dipertahankan oleh Kerajaan Persekutuan.

Malah Kerajaan Persekutuan juga sepatutnya menunggu sehingga keputusan bukti-bukti yang telah dikemukakan pada tahun lalu dikeluarkan sebelum bertindak drastik seperti ini.

Apabila Kerajaan Persekutuan bertindak menggugurkan prosiding ini, bermakna Singapura berhak sepenuhnya ke atas Pulau Batu Puteh.

Sedangkan apa yang kita tahu, jarak Pulau Batu Puteh dari Johor (Tanjung Penyusop, Mukim Pengerang) lebih dekat iaitu 7.7 batu nautikal berbanding jaraknya dari Singapura (Changi) iaitu 25 batu nautikal.

Jadi memandangkan Pulau Batu Puteh ini sebahagian daripada negeri Johor, Menteri Besar, Dato Osman Sapian sepatutnya bertanggungjawab meminta penjelasan daripada Kerajaan Persekutuan terhadap penarikan balik keputusan semakan tersebut.

Bukan hanya akur dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

Lebih penting lagi, beliau perlu mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengubah keputusan yang telah dilakukan mereka.

Pulau Batu Puteh bukan sahaja milik Malaysia, tetapi ia juga milik bangsa Johor.

Sebelum ini juga Menteri Besar Dato Osman Sapian pernah mengeluarkan kenyataan untuk berjumpa dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai isu ini.

Tetapi malang sekali hingga ke hari ini masih tiada sebarang penjelasan dari pihak Dato Osman Sapian.

Mengapa beliau hanya berdiam diri sedangkan sebelum ini beliau sendiri berjanji untuk membawa suara rakyat Johor berhubung Pulau Batu Puteh dan mendapatkan penjelasan Perdana Menteri.

Saya percaya dan yakin rakyat masih ternanti-nanti penjelasan dari Dato Osman Sapian. Oleh itu saya berharap beliau dapat menyatakan pendirian beliau dan kerajaan negeri terhadap isu ini.

Jangan hanya mahu berdiam diri dan melihat sahaja Pulau Batu Puteh jatuh ke tangan Singapura.

Kesimpulannya, saya berharap kedaulatan Pulau Batu Puteh ini dapat dipertahankan oleh Malaysia.

Kita perlu berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh bukannya mengalah sebelum berjuang.-21/7/2018


PENULIS merupakan Persatuan Pemikir Muda Johor

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 528  tetamu dalam talian