12Disember2018

Jelebu tetap kubu kuat BN

Parlimen Jelebu diyakini akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengerusi BN Jelebu Datuk Jalaluddin Alias.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata ini termasuklah mempertahankan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - Pertang, Klawang dan Sungai Lui dan Parlimen Jelebu - yang dimenangi pada PRU13 yang lalu.

"BN dan komponennya di Jelebu akan terus bekerja keras terutamanya bagi mempertahankan kerusi semua kerusi yang kita menangi termasuklah DUN Klawang yang sebelum ini menang dengan majoriti tipis iaitu 282 undi. Kita juga bertekad untuk merampas kembali DUN Chennah yang dikuasai DAP," katanya dalam temubual khas bersama Bernama di sini.

Pada PRU13, BN menang kerusi Parlimen Jelebu menerusi Datuk Zainuddin Ismail dengan majoriti 7,101 undi dalam pertandingan dengan Raj Munnil Sabu daripada PAS.

Dalam pertandingan satu lawan satu di DUN Klawang, calon BN Datuk Yunus Rahmat menang dengan majoriti 282 undi, DUN Pertang, Jalaluddin menang dengan majoriti 2,163 undi, DUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali meraih majoriti 5,990 undi manakala tewas di DUN Chennah kepada Anthony Loke Siew Fook (DAP) dengan majoriti 1,098 undi.

"Setakat ini kerjasama yang kita dapat daripada komponen parti sangat memuaskan. Walaupun majoriti masyarakat di Jelebu adalah terdiri daripada kaum Melayu dan kaum Cina merupakan kelompok terbesar, namun komponen parti termasuk MIC dan MyPPP tetap memberikan sokongan dan kerjasama yang sangat baik," katanya.

Jalaluddin yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan berkata meskipun BN kalah di DUN Chennah, namun soal kebajikan masyarakat di sana tetap tidak dipinggirkan.

"Saya dah masuk ke dalam setiap kampung di seluruh pelusuk Chennah dan mendengar sendiri rintihan masyarakat di sana tentang pengabaian yang dilakukan wakil rakyat yang telah mereka lantik pada PRU yang lalu.

"Saya dapat rasakan suara dan harapan mereka kini beralih kepada BN semula untuk mewakili mereka di DUN Chennah kerana sekarang ini semua perkara yang berkaitan dengan pembangunan, masalah rakyat dan sebagainya telah dilaksanakan oleh BN dan bukannya wakil rakyat mereka yang memberi alasan dia tidak mewakili kerajaan yang memerintah," katanya.

Pada 16 Dis tahun lepas, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan ketua MCA Bahagian Jelebu Roger Seet Tee Gee sebagai calon parti itu untuk bertanding di kerusi Chennah.

Di Chennah, 49 peratus dari penduduknya terdiri daripada kaum Cina, Melayu (47 peratus) dan India (2.39 peratus) dan Orang Asli (4.63 peratus).

Jalaluddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan juga tidak menolak faktor calon memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan BN dalam PRU14.

"Isu calon juga dalam percaturan kita untuk kita pastikan calon yang dikemukakan parti kali ini adalah yang terbaik di kalangan yang baik dan yang pastinya diterima dan disukai pengundi.

"Selain itu, kita juga sering turun ke setiap kampung dan mukim di semua DUN untuk mendekati mereka dan mengenalpasti masalah yang boleh kerajaan dan parti bantu," katanya.-17/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 352  tetamu dalam talian