14Disember2018

Harga sawit jatuh sepatutnya minyak masak turun harga...

Kerajaan perlu memulakan perbincangan dengan pengusaha dan kilang bagi menurunkan harga jualan minyak masak berikutan kejatuhan harga minyak sawit, kata Datuk Seri Mohamad Hassan.

Timbalan presiden UMNO itu tertanya mengapa kerajaan tidak mahu memastikan pengguna mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak sawit walaupun selepas bantuan kepada pekebun, petani dan BR1M kepada rakyat berpendapatan rendah dikurangkan atau dimansuhkan tahun depan.

“Adakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah mula berbincang dengan pengusaha dan kilang dalam memastikan mereka akan menurunkan harga jualan minyak masak mereka?” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Jika bantuan kepada rakyat telah dipotong dan dimansuhkan oleh kerajaan, sekurang-kurangnya rakyat boleh mendapat sedikit manfaat daripada kejatuhan harga minyak masak.

Mohamad berkata apabila harga minyak sawit naik kepada sekitar RM3,000 satu tan pada akhir 2016, kerajaan terdahulu mengehadkan subsidi minyak masak kepada pek 1kg berharga RM2.50, untuk antara lain membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran.

Walaupun harga minyak masak pada masa itu naik mengikut harga pasaran, penjimatan daripada penyelarasan subsidi itu membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai bantuan termasuk BR1M.

“Saya tahu langkah itu telah membangkitkan kemarahan ramai pada masa itu dan PH mengambil kesempatan penuh untuk mempergunakan isu ini,” katanya.

Bagaimana keadaan sekarang sudah berubah apabila harga minyak sawit untuk Disember hanya RM1,775 satu tan atau hampir 50% lebih rendah berbanding harga akhir 2016.

“Akibat kerajaan Pakatan Harapan gagal untuk mempertahankan harga sawit, harga minyak sawit terus jatuh setiap bulan,” katanya. “Mengapa mereka tidak mahu memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak sawit?”

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 715  tetamu dalam talian